There was an error in this gadget

Wednesday, January 2, 2013

ISU “AMANAT HAJI HADI” : BERI RUANG KEPADA PRESIDEN PAS


ABIM telah diminta untuk memberi penjelasan oleh ramai umat Islam khususnya di Perak tentang isu “AMANAT HAJI HADI”  berdasarkan kenyataan Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS ketika berceramah di Kuala Terengganu pada 7 April 1981, KONONNYA menggelarkan Umno sebagai parti "kafir" dan perkara itu disebarkan secara meluas oleh PAS pada , tahun 1980-an dalam bentuk poster.
Perkara ini sangat menghairankan kenapa setelah sekian lama berlaku, baru kini dibangkitkan semula. Ternyata isu ini telah mendatangkan suasana yang tidak baik kepada umat Islam di negara ini, khususnya di Perak. Ia juga boleh menjerumus umat Islam kepada siri-siri fitnah baru berdasarkan isu lama.
Justeru, ABIM Perak ingin mengulangi pendirian bahawa Presiden PAS sangat wajar diberikan peluang untuk muncul secara langsung melalui televisyen bagi membuat penjelasan tentang isu yang dibangkitkan. Adapun cadangan agar beliau menggunakan web tv melalui internet adalah tidak relevan sama sekali kerana ia tidak mampu dicapai oleh semua pihak berbanding fitnah dan tohmahan terhadap beliau yang telah diulang-ulang selama beberapa minggu melalui media massa utama. Isu umat Islam akan keliru jika dibuat secara langsung, tidak akan timbul kerana umat Islam kini mampu membuat rujukan dan berfikir untuk membuat penilaian
ABIM juga bersetuju dengan satu lagi cadangan dari pihak SINAR untuk menganjur forum terbuka yang melibatkan Presiden PAS tersebut, kerana keyakinan pelbagai pihak terhadap kejayaan SINAR menganjurkan forum atau debat secara terbuka, telus dan tulus.

SUHAIMI BIN LATIP
YANG DIPERTUA,
 ANGAKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) ,
CAWANGAN NEGERI PERAK.
21 SAFAR 1434 BERSAMAAN 3 JANUARI 2013

Tuesday, December 18, 2012


Soalan dari Sinar kepada YDP ABIM Perak pada 16-12-12


 

Beri pandangan sedikit berkaitan kenyataan Mufti Perak yang bertegas tidak akan sertai parti politik...

 

Jawapan

 

Sememangnya kenyataan ini selaras dengan jawatan yang disandang sebagai Mufti Perak. Institusi Mufti perlu berdiri atas asas dan pendirian yang dituntut oleh agama dalam menentukan yang hak dan batil. Kenyataan ini sangat baik kerana ketika ini, ABIM tidak menafikan pandangan sebahagian pihak yang melihat Mufti lebih cenderung mendokong parti politik tertentu.

 

 

 

Pada pandangan Abim mengapa agaknya perhatian politik masa kini mahu menarik penglibatan mereka yang pakar dalam keilmuan dan agama.

 

Jawapan

 

            Bukan sahaja perhatian politik masa kini, tetapi sepanjang zaman penglibatan mereka yang pakar dalam keilmuan dan agama sangat penting dalam memberi penjelasan yang konkrit dalam politik. Ini kerana politik tidak terpisah dengan Islam. Para mufti perlu menjadi tunjang dalam membela isu agama agar jangan dipermainkan. Misalnya dalam isu yang menyentuh isu penghinaan MCA terhadap hudud yang begitu kerap kedengaran. Para mufti perlu memberi kenyataan yang tegas kepada pihak yang tidak beragama Islam agar tidak mencampuri isu sensitif yang menyentuh hak Islam. Tambahan isu yang berkaitan agama ini di bawah kuasa urusan hal ehwal Islam, yang  dinaungi oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung serta Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Negeri-negeri Melayu. Sebarang perkara berkaitan Islam termasuk hudud yang dibicarakan oleh pihak-pihak tertentu telah secara langsung menyentuh bidang kuasa Yand Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama di negara ini. 

 


 

Adakah Abim menyokong penuh pendirian yang diambil Mufti Perak itu.

 

ABIM menghormati pandangan yang diambil oleh Mufti Perak. Pendirian ini perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dari semasa ke semasa.

 

Friday, November 30, 2012

BANTAHAN KONSERT ELTON JOHN & JENNIFER LOPEZ


ABIM Perak melahirkan  bantahan dan rasa khuatir generasi muda terus dibanjiri qudwah (ikutan)  tanpa teladan iaitu  penganjuran Konsert Elton John, serta Konsert Jennifer Lopez. Ini memandangkan konsert tersebut dianjurkan taktala negara masih bergelut untuk merungkaikan pelbagai kemelut sosial yang melanda negara ini.Persembahan Elton dibuat melalui Elton John & Band: 40th Anniversary of the Rocket Man pada 29 November 2012 manakala Jenifer pula melalui Jennifer Lopez live in Malaysia pada 2 Disember ini.

ABIM Perak juga menilai penganjuran konsert seakan-akan menggambarkan sikap acuh tidak acuh pihak tertentu terhadap pelbagai bantahan yang dikemukakan terhadap penganjuran konsert-konsert serta program hiburan melampau membabitkan artis-artis dari luar Negara. Hiburan merupakan elemen berpengaruh terutama sekali di kalangan golongan remaja.

Hiburan yang bersifat mendidik akan mendorong golongan remaja untuk mengembangkan sahsiah diri mereka secara positif. Akan tetapi sekiranya mereka menerima pendedahan dari hiburan yang bersifat hendonistik semata-mata, ia akan mendorong golongan muda ini untuk bertindak menurut kepuasan hawa nafsu semata-mata. Tambahan pula, salah seorang artis tersebut secara terbuka mengamalkan hubungan sejenis (gay) yang boleh memberikan ekspresi keteladanan yang salah di kalangan golongan muda.

Seharusnya ancaman LGBT serta beberapa gejala songsang yang lain membuatkan pihak-pihak yang berwajib lebih berwaspada serta berhati-hati dalam menyaring sebarang kemasukan serta penganjuran hiburan membabitkan artis-artis luar Negara. Penganjuran kedua-dua konsert tersebut, katanya, merupakan titik hitam di sebalik kemilau kebangkitan hiburan Islamik serta selebriti dakwah di negara ini. Ketegasan serta keprihatinan dari pihak berwajib serta masyarakat adalah perlu untuk mengelakkan golongan muda dari terus dibanjiri “artis” tanpa sebarang rujukan keteladanan yang positif. Pihak kerajaan perlu tegas menyekat unsur yang boleh merosakkan akhlak generasi muda Negara.

Tuesday, October 23, 2012



KENYATAAN AKHBAR ABIM PERAK
 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Perak sekali lagi menyuarakan kekesalan dan terkejut atas kenyataan liar oleh Dato’ Seri Chua Soi Lek dalam mesyuarat Agung Tahunan MCA ke 59 berkenaan dengan hukum hudud. Kenyataan beliau yang menganggap bahawa  8 daripada 11 buah negara yang mengamalkan hukum hudud di anggap sebagai negara yang paling banyak korup, tidak stabil dan tidak selamat adalah suatu kenyataan yang jahat, tidak berasas dan biadap.
Ini seolah-olah untuk menzahirkan kepada umat Islam dan bukan Islam akan keburukan hukum hudud yang difahami dari perspektif beliau yang sempit. Pada hal, umat Islam yang berpegang dengan keimanan dan aqidah yang murni yakin bahawa hukum hudud merupakan hukum yang mampu mengangkat  dan melindungi kemuliaan insan sekaligus  memartabatkan kemurniaan sosial khususnya rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Umat Islam sangat  yakin bahawa  undang-undang dari Allah ini bukan sahaja memberi manfaat yang besar kepada umat Islam malah kepada bukan Islam juga.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa agar umat Islam menolak Chua Soi Lek walau dimana pun dia bertanding dalam PRU akan datang. Tindakan melulu itu bukan kali pertama dan seharusnya MCA juga bertanggung jawab kerana ucapan menghina hudud itu berlaku di dalam perhimpunan besar dan rasmi parti tersebut.  Beliau tidak layak untuk menjadi wakil rakyat bagi warga Malaysia yang menghormati ajaran agama lain. Malaysia tidak memerlukan pemimpin yang gagal menyantuni keharmonian masyarakat negara ini dan terus menerus menghina hukum yang termaktub di dalam kitab suci umat Islam  iaitu al-Qur’an . ABIM juga memandang berat sikap pemimpin negara yang enggan memberikan teguran sedangkan keceluparan ini bukan kali pertama berlaku.

SUHAIMI BIN LATIP,
YANG DIPERTUA,
ABIM PERAK
24-10-2012 BERSAMAAN 8 ZULHIJJAH 1433H

Wednesday, September 28, 2011

Hukum Syarak dan Melayu, Tunggak Utama Tanah Melayu

Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di negeri Perak, Undang-undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak, Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing.”
Alhamdulillah, setelah dianugerahkan nikmat Islam dan ditakdirkan lahir sebagai Melayu di negeri Perak, saya sangat terharu dan berbangga dengan kenyataan ini yang telah diangkat oleh Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia pada tarikh 26 September 2011 baru-baru ini. Kenyataan tersebut membuktikan Hukum Syarak yang dimaksudkan itu ialah hukuman atau perundangan Islam yang selari dengan Al-Quran dan Hadis. Maknanya negara Malaysia ini dahulu telah ada undang-undang Islam yang dominan atas kesedaran dan kehendak yang besar oleh pemerentah Raja-raja Melayu. Soalnya kenapa sebahagian pemimpin melayu Islam, ahli politik melayu Islam dan sebahagian kecil melayu Islam mengkritik pihak yang mahu menyokong hukuman hudud, mempersendakannya malah dengan “confident” membuat kenyataan “Hudud tidak boleh dilaksanakan”. Sangat memalukan, bukan sahaja malu kepada orang bukan Islam, tetapi terhina di sisi Allah dan RasulNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim."(Surah al-Baqarah:229)

Sepatutnya wajib umat Islam secara keseluruhannya mempromosi hukuman hudud kepada yang bukan Islam. Ketepikan sentimen politik. Malangnya, sesetengah pemimpin sendiri yang menampakkan kejahilannya dan menjadi jaguh menentang hudud secara sembunyi dan terang-terangan. Hukuman hudud ( حدود ), merupakan hukuman yang telah ditentukan serta ditetapkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T . Bukan hak kita. Hukuman ini bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti malah tidak boleh sama sekali diubahsuai atau dipinda. Malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Sesiapa di kalangan manusia yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya, termasuklah mereka dalam golongan orang yang zalim.
Apa kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud? Merujuk kepada kitab fiqh jinayat antara kesalahannya ialah termasuklah;

1. Melakukan zina iaitu persetubuhan di luar nikah yang sah berdasarkan hukum syarak.
2. Menuduh orang lain berzina (Qazaf) iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik, atau umumnya beliau dikenali baik lagi suci, menafikan keturunannya, serta tuduhan tanpa bukti disebut oleh Allah iaitu empat orang saksi.
3. Meminum arak atau yang memabukkan, sedikit atau tidak, sama ada mabuk atau tidak.
4. Murtad iaitu orang yang keluar dari ajaran Islam sama ada dengan perbuatan, perkataan, atau dengan i’tiqad kepercayaan.
5. Mencuri yang bermaksud memindahkan harta orang lain secara sembunyi dari tuannya dengan niat menghilangkan atau mengambil harta itu.
6. Hirabah atau merompak yang bermaksud seseorang atau kumpulan yang mempunyai niat dan tujuan mengambil harta, membunuh atau menakutkan pihak lain dengan kekerasan.
7. Bughat yang bermaksud segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syariat Islam dan hukum Islam

ABIM mengajak umat Islam memandang serius polimik hukuman hudud ketika ini. Jika ini berterusan, kita khuatir akan lahir persepsi negatif terhadap hukuman Allah ini. Umat Islam perlu yakin hukuman hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak dan kemahuan politik yang tinggi dan serius dengan mengambil kira penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada. Timbul persoalan, bila dan adakah kehendak politik yang kuat dan berkuasa mahu melaksanakannya secara serius dan bersistematik? Dalam konteks ini, ABIM ingin merujuk kepada hasil kajian yang bertajuk Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011) yang dilakukan Merdeka Centre, Goethe Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini.

Temuramah yang dijalankan ke atas 1060 orang responden belia Islam mendapati majoriti belia Islam mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini masih mampu memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam. ABIM yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik serta road map yang jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas. Malah tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan

Bagaimana masyarakat bukan Islam? Sampaikan kepada mereka semua. Siapa yang nak sampaikan? Kitalah yang beragana Islam yang wajib sampaikan ! Paling tidak katakan “Jangan khuatir kerana hukuman hudud itu hanya terpakai dan hanya membabitkan umat Islam sahaja”. Malah hukuman Hudud atau perundangan Islam juga turut menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk kekal hidup dengan agama dan budaya masing-masing. Ini jaminan Islam!. Kepada yang bukan Islam, pengalaman telah ada bahawa sistem Islam yang suatu ketika dahulu dilihat secara negatif telah berjaya dilaksanakan dan bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia berbilang kaum antaranya berjaya memberi alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensyenal di Malaysia. Perkara lain perlu dilihat dan tidak mustahil mampu dan boleh dilakukan terutamanya perlaksanaan sistem perundangan jenayah Islam atau hukuman Hudud. ABIM semenjak penubuhannya pada 1971 telah menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justeru sudah tiba masanya ia dijunjung serta diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan status Islam sebagai agama Persekutuan. Nasihat dalam kesempatan ini, khusus untuk pemimpin beragama Islam, ahli siyasah, tokoh ilmuan Islam, yang menjadi mantan pimpinan, sehinggalah yang duduk bersembang santai tidak kira dimana sahaja. Hati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, jangan sampai silap percaturan, hukuman dari Allah dijadi bahan gurauan, bukan sahaja hilang penguasaan malah yang lebih mengerunkan mengundang kemurkaan (Allah), terburai ikatan syahadahtain, yang meloncat kegembiraan, musuh Islam, hantu bonceng dan syaitan.
Al-Faqir ilallah

Wednesday, September 7, 2011

ISLAM DALAM PERSOALAN HURIYYAH (KEMERDEKAAN)-Bahagian 1

Tahun 2011 bersamaan 1432 H, sambutan hari kemerdekaan negara kita kali ke 54 telah ditunda pada tarikh 16 September, serentak dengan sambutan hari pemasyhuran Malaysia iaitu pada tarikh 16 September 1963. Sebelumnya negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957. Dalam erti kemerdekaan secara umum, umat Islam dan rakyat negara ini hanya menelusuri pengalaman pahit retetan siri penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris serta ancaman komunis. Maka sambutan kemerdekaan itu sekadar dipaparkan dengan kempen perbarisan hari kemerdekaan, sambutan malam kemerdekaan,mengibarkan jalur gemilang dan berbagai perayaan fizikal yang ditampilkan.


Sudah tentu sepanjang tempoh sebelum kemerdekaan, kita terpanggil mengimbas semula detik pahit maung yang dilalui. Walaupun ketika ini ada polimik yang melibat tokoh politik dan akademik bersangkutan sejarah, siapa tokoh tulen dan perjuangan kemerdekaan yang perlu ditulis semula, namun ada sudut lain yang juga cukup penting untuk dihayati. Sewajarnya kita mengambil ‘ibrah (pengajaran) serta muhasabah (penilaian semula) ke dalam diri dan jiwa kita. Benarkah selepas 54 tahun kemerdekaan ini kita benar-benar merdeka dari segala bentuk belenggu dan jajahan? Apakah umat Islam hari ini faham apa erti kemerdekaan yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Adakah umat Islam kini boleh berbangga dengan keadaan diri sendiri? Adakah kemerdekaan yang dikecapi kini turut membuatkan umat Islam bebas dari kehidupan jahiliah dari sudut jiwa, akal dan tingkah laku? Adakah kita merdeka dari jiwa hamba atau kita hanya menjadi seorang yang hanya ghairah bernostalgia? Maka sudah tentu jawapan untuk semua persoalan di atas, kita umat Islam wajib menilai dan memahami erti “kemerdekaan” atau “huriyyah” dari sudut perspektif Islam.


Setiap indivudu muslim perlu sedar bahawa sejarah kemerdekaan hakiki dirinya bermula apabila kehidupannya berpegagang teguh dan menyakini secara syumul kalimah “syahadahtain” bermaksud “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah” Bermula dari kalimah inilah umat Islam diajar memahami harga diri. Di sinilah umat yang terbelenggu jiwa hamba, akal dan tingkah laku jahilliahnya dibebaskan untuk bangkit sehingga umat Islam berjaya menguasai dan memimpin dunia suatu ketika. Maknanya “Tawhid” itu mempunyai kaitan penting untuk melahirkan insan yang berjiwa merdeka dari aspek jiwa hamba, akal dan tingkah laku yang akhirnya mengeluarkan dan membebaskan umat daripada kegelapan, kesesatan, perhambaan kepada cahaya (nur) yang sebenarnya dari Allah swt.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada nur (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut, yang mengeluarkan mereka dari nur (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah Ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 257)


Sewajarnya kita menekuni sirah bagaimana kekuatan tawhid atau akidah itu telah memerdekakan jiwa, akal dan tingkah laku al-sabiqun-ul-awwalun atau kumpulan sahabat Rasulullah saw di awal Islam sebagai pegangan hidup. Kenapa umat Islam tidak terpengaruh dan mengkagumi kekuatan tawhid, keberanian dan kesabaran yang luar biasa sahabat yang berkulit hitam dari Habsyah bernama Bilal ibn Rabah. Beliau mempertaruhkan nyawa dengan penyeksaan yang tidak terperi apabila timbunan batu di letakkan di atas dada dan tubuhnya. Semua penderitaan itu akan di hilangkan sekiranya Bilal kembali mengakui ketuhanan penyembahan berhala. Luar biasa apabila Bilal hanya mengungkapkan ahad, ahad, ahad yang bermaksud “yang satu, yang satu” merujuk kepada Allah yang satu. Beliau kekal bertahan sehingga dimerdekakan dari penyeksaan fizikal yang dahsyat itu. Bagaimana pula dengan kehebatan tokoh perajurit perang Islam yang hebat bernama Rabi’y Ibn Amir ketika berada di hadapan Raja yang zalim bernama Rustam dari Parsi bersama panglima-panglimanya dalam peristiwa peperangan al-Qadasiyyah. Rustam cuba menggertak dan menjatuhkan psikologi Rabi’y Ibn Amir. Seperti yang dinukilkan oleh al-Syahid Syed Qutb di dalam karyanya yang masyhur “petunjuk sepanjang jalan”, Rabi`y bin Amir, Hudzaifah bin Muhshin, dan al-Mughirah bin Syu`bah kepada Rustum, jeneral pasukan Parsi di dalam peperangan al-Qadasiyyah, saat Rustam bertanya kepada mereka bertiga seorang demi seorang selama tiga hari berturut-turut, sebelum peperangan dimulai, "Apa yang mendorong kalian berperang?" Mereka menjawab, "Allah mengutus kami agar kami mengeluarkan orang-orang yang Ia kehendaki dari penghambaan sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah. Dari kesempitan dunia menuju keluasannya. Dari kezaliman agama-agama lain menuju keadilan agama Islam. Lalu, ia mengutus utusanNya dengan agama untuk makhlukNya. Barangsiapa yang menyambut kami, akan kami sambut dengan baik pula dan kami kembali secara baik-baik, kami biarkan, tidak kami ganggu tanahnya. Barangsiapa yang membangkang, akan kami bunuh hingga kami mati syahid dan masuk syurga atau kami mendapat kemenangan yang gemilang." Semua tokoh yang disebutkan di atas merupakan sebahagian wira-wira atau hero-hero Islam yang benar-benar merdeka jiwa, akal dan tingkah laku dari belenggu kegelapan, kezaliman dan kesesatan masyarakat jahiliyyah.


Kemerdekaan yang tulen itu juga merujuk kepada kesaksamaan hak antara semua manusia dan meletakkan asas takwa sebagai elemen penting bagi keagungan dan kemuliaan sesuatu bangsa termasuk bangsa Melayu sendiri. Merujuk dengan peringatan Rasulullah saw “Tidak ada kelebihan bagi seseorang Arab ke atas seorang ‘ajam (bukan Arab)kecuali ketakwaannya.” Kemerdekaan itu juga dikaitkan dengan lahirnya unsur-unsur keadilan (al-adalah) dan keihsanan (al-ihsan).


Sesuai dengan peringatan Allah swt:


“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Al-Nahl:90)


Umat Islam yang benar-benar merdeka itu juga adalah umat yang turut mengambil berat dengan penderitaan saudara-saudara seagama melampaui batas bangsa semata-mata dan merentasi garisan persempadanan geografi.


Lihatlah peringatan Allah swt yang bermaksud:


“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu memperolehi rahmat.” (al-Hujuraat: 10)


Merdekalah dengan cara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya, jangan sampai kita melanggar batas agama ketika meraikan kemerdekaan. Jangan banyak berhibur yang terkinja-kinja, lalai atas suruhan agama, bersorak-sorak dan sebagainya yang tidak mencerminkan alhlak Islam yang mulia.


Al-Faqir ilallah

Wednesday, August 31, 2011

Jadikanlah diri "Rabbani", bukannya "Ramadhani"

Bulan Ramadhan sudah berlalu. Timbulkanlah persoalan, sama ada Ramadhan sebagai saksi yang meringankan atau menjadi saksi yang memberatkan kita. Ramadhan yang berlalu akan menjadi pemberi syafaat bagi orang yang berpuasa, membaca al-Qur’an dan solat malam dengan baik kerana dorongan iman dan mencari keredhaan Allah SWT, sehingga dosa-dosanya yang lalu diberi keampunan. Walau bagaimanapun, Ramadhan juga akan menjadi saksi bagi sesiapa yang berpuasa dan solat malam dengan cara yang tidak baik, sehingga puasanya hanya mendapatkan lapar, dahaga dan mendapat letih dan mengantuk sahaja . Bagaimana pula keadaan manusia yang mengaku Islam yang tidak berpuasa dan tidak solat malam?

Rasulullah saw bersabda;

Sesiapa yang tidak berpuasa dari bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (yang ada keringanan) dan tidak pula sakit, maka tidak ada puasa selama setahun penuh yang dapat mengqadha’nya (menggantikan) meskipun dia melakukan puasa qhada’ itu.”

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmidzy, An-Nasa’iy, Ibnu Majah dan Ahmad)


Menurut Dr.Yusuf Al-Qardhawy, walaupun hadis dari Abu Hurairah ini dhaif, memadailah sebagai peringatan tentang dosa yang ada dan pahala yang terlepas dari tangan.


Ada pula manusia yang menghadap Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila berakhirnya Ramadhan, maka berakhirlah pula pengabdian tulus dan intim dengan Rabnya. Secara automatik terputuslah tali penghubung antara dirinya dan Rabnya. Tamat Ramadhan, bererti tamatlah solat berjemaah di masjid, tidak lagi ghairah dengan membaca al-Qur’an, lidah tidak lagi basah berzikir, tidak ada solat malam malah, mata dibenarkan semahu-mahunya melihat apa sahaja, begitu juga dengan telinga, kaki yang kembali bebas ke mana sahaja menurut nafsu, serta perut yang kenyang melampaui batas. Seolah-olah Allah SWT hanya layak ditaati dan di sembah serta ditakuti hanya pada bulan Ramadhan, dan tidak ada lagi pada bulan-bulan lain selepas itu. Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Ramdhan, ketahuilah bulan Ramadhan telah tiada dan berlalu. Sementara Allah SWT tidak pernah mati dan akan terus wujud.


Jadikanlah diri kita Rabbni, artinya jadikan diri kita sentiasa bersama dan taatkan Allah serta bertakwa kepadaNya, di mana-mana sahaja tidak kira waktu, masa dan tempat. Bukannya menjadi Ramadhani, yang bermaksud janganlah kita hanya menghadap Allah pada bulan Ramadhan dan selepas berlalunya bulan Ramadhan, kita melupakan arahan dan tegahan Allah dan terjerumus ke lembah kedurhakaan serta maksiat. Apa selepas Ramadhan? Pembuktian anugerah takwa dapat dilihat dengan meneruskan agenda pengabdian tulus terhadap Allah swt,


1. Melaksanakan puasa enam hari di bulan syawal selepas Ramadhan dan rebutlah anugerah ganjaran berdasarkan dari Abu Ayyub Al-Anshari r.a meriwayatkan dari Nabi saw,


Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti ia berpuasa selama setahun” (HR.Muslim).


Berpuasa enam hari pada bulan Syawal ialah merupakan amalan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya secara berterusan dan tidak terputus dengan pengabdian tulus pada bulan Ramadhan. Orang yang berpuasa selepas Ramadhan seolah-olah orang yang cepat-cepat berenang ke pantai apabila mula merasa dirinya sudah jauh di tengah lautan. Ketahuilah amat sedikit manusia yang sedih, sayu dan merindui Ramadhan disebabkan perasaan serik kelaparan, kehausan, tidak boleh merokok, dan aktiviti lain yang ditegah ketika berpuasa. Perasaan inilah yang menyulitkan untuk berpuasa lagi. Pada hal, orang yang bersegera berpuasa setelah Idul Fitri merupakan bukti kecintaan yang tinggi terhadap Allah dan RasulNya.


2. Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan puasanya di bulan Ramadhan diterima oleh Allah swt, kerana apabila Allah SWT menerima amal seseorang hamba, pasti Dia akan mendorong dan membantu hambaNya melaksanakan perbuatan baik seterusnya. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang itu melakukan sesuatu yang nampak baik lalu diikuti dengan perbuatan buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amalan yang pertama.
Umat Islam yang malang selepas Ramadhan berlalu bukannya mereka yang di lihat miskin tidak berharta, atau mereka yang tidak ada jamuan yang enak-enak di hari lembaran atau mereka yang tidak berupaya mengadakan rumah terbuka, tidak ada baju yang mahal-mahal dan pemandangan seronok yang biasa menjadi ukuran pada Hari Raya. Mereka yang malang itu ialah apabila sebulan berpuasa gagal membentuk diri sebagai mukmin yang benar-benar bertakwa yang diredhai oleh Allah SWT. Antara perkara malang yang ditunjukkan, ialah Hari Raya Idul Fitri pada 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan mengawal nafsu, telah digantikan dengan sewenang-wenangnya dengan perbuatan maksiat. Maka termasuklah golongan ini orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Maka jadilah mereka golongan orang-orang yang menghancurkan bangunan yang megah setelah berhempas pulas membinanya.


Allah SWT berfirman,


“ Dan janganlah kamu seperti orang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-berai kembali.”

(An-Nahl:92)


Apa yang dimaksudkan dengan kekufuran? Antara pebuatan kufur ialah mendengar dan melihat nyanyian perempuan yang tidak menutup aurat di waktu yang sama nyanyian itu tidak mengajak manusia ingat akan kebesaran Allah, menghadiri program keramaian yang melampau dan melanggar batas dari sudut pergaulan lelaki dan perempuan, pertuturan yang sia-sia, pembaziran hidangan juadah, termasuklah berbelanja banyak membeli mercun, dibakar di malam hari yang merupakan budaya sonsang selain daripada sia-sia ia juga menganggu ketenangan orang lain termasuklah orang-orang tua yang uzur, kanak-kanak kecil yang tidur dan sebagainya. Ini semua tegahan yang jelas oleh Allah. Bagaimana kita boleh merayakan kemenangan dan besyukur pada Allah di hari lembaran pada waktu yang sama melakukan perbuatan yang di tegah secara jelas oleh Allah SWT.


Mungkin ada dua sebab yang memungkin perkara ini berlaku, pertama kerana kejahilan atau kedua sengaja meringankan arahan dan tegahan dari Allah dengan alasan masa masih panjang untuk bertaubat, masa berseronok untuk sekali-sekala, esok masih sempat untuk bertaubat, dan berbagai lagi cetusan alasan yang ada. Kalau faktor jahil, sudah ada banyak peringatan yang didengar, dibaca dan dinasihatkan. Ingatlah tamatnya Ramadhan, umur hanya tinggal baki sahaja. Apa sahaja yang berbaki tidaklah banyak. Benda atau perkara yang boleh dilihat secara fizikal seperti air di dalam botol atau gelas akan nampak baki yang tertinggal apabila sebahagiannya diminum.


Umur berbaki tidak nampak dan di sembunyikan oleh Allah SWT. Jangan ingat umur 25 tahun, saya mungkin meninggal di kala usia 60 tahun. Siapa kata? Hanya Rasulullah SAW ada memberi peringatan, bahawa umur umatku antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Maka manfaatkan ruang dan masa yang berbaki ini dengan merendahkan diri pada Allah, lakukanlah ketaatan yang penuh sebelum kematian menjemput. Nafikan ketundukan kepada makhluk dan bersaksi bahawa kekuasaan hanya milik Dzul Jalal Wal Ikram (Yang Maha Memilki Kebesaran dan Kemuliaan),” Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.


Al-Faqir ilallah