Rasulullah saw bersabda;
“ Sesiapa yang tidak berpuasa dari bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (yang ada keringanan) dan tidak pula sakit, maka tidak ada puasa selama setahun penuh yang dapat mengqadha’nya (menggantikan) meskipun dia melakukan puasa qhada’ itu.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmidzy, An-Nasa’iy, Ibnu Majah dan Ahmad)
Menurut Dr.Yusuf Al-Qardhawy, walaupun hadis dari Abu Hurairah ini dhaif, memadailah sebagai peringatan tentang dosa yang ada dan pahala yang terlepas dari tangan.
Ada pula manusia yang menghadap Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila berakhirnya Ramadhan, maka berakhirlah pula pengabdian tulus dan intim dengan Rabnya. Secara automatik terputuslah tali penghubung antara dirinya dan Rabnya. Tamat Ramadhan, bererti tamatlah solat berjemaah di masjid, tidak lagi ghairah dengan membaca al-Qur’an, lidah tidak lagi basah berzikir, tidak ada solat malam malah, mata dibenarkan semahu-mahunya melihat apa sahaja, begitu juga dengan telinga, kaki yang kembali bebas ke mana sahaja menurut nafsu, serta perut yang kenyang melampaui batas. Seolah-olah Allah SWT hanya layak ditaati dan di sembah serta ditakuti hanya pada bulan Ramadhan, dan tidak ada lagi pada bulan-bulan lain selepas itu. Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Ramdhan, ketahuilah bulan Ramadhan telah tiada dan berlalu. Sementara Allah SWT tidak pernah mati dan akan terus wujud.
Jadikanlah diri kita Rabbni, artinya jadikan diri kita sentiasa bersama dan taatkan Allah serta bertakwa kepadaNya, di mana-mana sahaja tidak kira waktu, masa dan tempat. Bukannya menjadi Ramadhani, yang bermaksud janganlah kita hanya menghadap Allah pada bulan Ramadhan dan selepas berlalunya bulan Ramadhan, kita melupakan arahan dan tegahan Allah dan terjerumus ke lembah kedurhakaan serta maksiat. Apa selepas Ramadhan? Pembuktian anugerah takwa dapat dilihat dengan meneruskan agenda pengabdian tulus terhadap Allah swt,
1. Melaksanakan puasa enam hari di bulan syawal selepas Ramadhan dan rebutlah anugerah ganjaran berdasarkan dari Abu Ayyub Al-Anshari r.a meriwayatkan dari Nabi saw,
“Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti ia berpuasa selama setahun” (HR.Muslim).
Berpuasa enam hari pada bulan Syawal ialah merupakan amalan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya secara berterusan dan tidak terputus dengan pengabdian tulus pada bulan Ramadhan. Orang yang berpuasa selepas Ramadhan seolah-olah orang yang cepat-cepat berenang ke pantai apabila mula merasa dirinya sudah jauh di tengah lautan. Ketahuilah amat sedikit manusia yang sedih, sayu dan merindui Ramadhan disebabkan perasaan serik kelaparan, kehausan, tidak boleh merokok, dan aktiviti lain yang ditegah ketika berpuasa. Perasaan inilah yang menyulitkan untuk berpuasa lagi. Pada hal, orang yang bersegera berpuasa setelah Idul Fitri merupakan bukti kecintaan yang tinggi terhadap Allah dan RasulNya.
2. Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan puasanya di bulan Ramadhan diterima oleh Allah swt, kerana apabila Allah SWT menerima amal seseorang hamba, pasti Dia akan mendorong dan membantu hambaNya melaksanakan perbuatan baik seterusnya. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang itu melakukan sesuatu yang nampak baik lalu diikuti dengan perbuatan buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amalan yang pertama.
Umat Islam yang malang selepas Ramadhan berlalu bukannya mereka yang di lihat miskin tidak berharta, atau mereka yang tidak ada jamuan yang enak-enak di hari lembaran atau mereka yang tidak berupaya mengadakan rumah terbuka, tidak ada baju yang mahal-mahal dan pemandangan seronok yang biasa menjadi ukuran pada Hari Raya. Mereka yang malang itu ialah apabila sebulan berpuasa gagal membentuk diri sebagai mukmin yang benar-benar bertakwa yang diredhai oleh Allah SWT. Antara perkara malang yang ditunjukkan, ialah Hari Raya Idul Fitri pada 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan mengawal nafsu, telah digantikan dengan sewenang-wenangnya dengan perbuatan maksiat. Maka termasuklah golongan ini orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Maka jadilah mereka golongan orang-orang yang menghancurkan bangunan yang megah setelah berhempas pulas membinanya.
Allah SWT berfirman,
“ Dan janganlah kamu seperti orang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-berai kembali.”
(An-Nahl:92)
Apa yang dimaksudkan dengan kekufuran? Antara pebuatan kufur ialah mendengar dan melihat nyanyian perempuan yang tidak menutup aurat di waktu yang sama nyanyian itu tidak mengajak manusia ingat akan kebesaran Allah, menghadiri program keramaian yang melampau dan melanggar batas dari sudut pergaulan lelaki dan perempuan, pertuturan yang sia-sia, pembaziran hidangan juadah, termasuklah berbelanja banyak membeli mercun, dibakar di malam hari yang merupakan budaya sonsang selain daripada sia-sia ia juga menganggu ketenangan orang lain termasuklah orang-orang tua yang uzur, kanak-kanak kecil yang tidur dan sebagainya. Ini semua tegahan yang jelas oleh Allah. Bagaimana kita boleh merayakan kemenangan dan besyukur pada Allah di hari lembaran pada waktu yang sama melakukan perbuatan yang di tegah secara jelas oleh Allah SWT.
Mungkin ada dua sebab yang memungkin perkara ini berlaku, pertama kerana kejahilan atau kedua sengaja meringankan arahan dan tegahan dari Allah dengan alasan masa masih panjang untuk bertaubat, masa berseronok untuk sekali-sekala, esok masih sempat untuk bertaubat, dan berbagai lagi cetusan alasan yang ada. Kalau faktor jahil, sudah ada banyak peringatan yang didengar, dibaca dan dinasihatkan. Ingatlah tamatnya Ramadhan, umur hanya tinggal baki sahaja. Apa sahaja yang berbaki tidaklah banyak. Benda atau perkara yang boleh dilihat secara fizikal seperti air di dalam botol atau gelas akan nampak baki yang tertinggal apabila sebahagiannya diminum.
Umur berbaki tidak nampak dan di sembunyikan oleh Allah SWT. Jangan ingat umur 25 tahun, saya mungkin meninggal di kala usia 60 tahun. Siapa kata? Hanya Rasulullah SAW ada memberi peringatan, bahawa umur umatku antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Maka manfaatkan ruang dan masa yang berbaki ini dengan merendahkan diri pada Allah, lakukanlah ketaatan yang penuh sebelum kematian menjemput. Nafikan ketundukan kepada makhluk dan bersaksi bahawa kekuasaan hanya milik Dzul Jalal Wal Ikram (Yang Maha Memilki Kebesaran dan Kemuliaan),” Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Al-Faqir ilallah
No comments:
Post a Comment