Wednesday, September 7, 2011

ISLAM DALAM PERSOALAN HURIYYAH (KEMERDEKAAN)-Bahagian 1

Tahun 2011 bersamaan 1432 H, sambutan hari kemerdekaan negara kita kali ke 54 telah ditunda pada tarikh 16 September, serentak dengan sambutan hari pemasyhuran Malaysia iaitu pada tarikh 16 September 1963. Sebelumnya negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957. Dalam erti kemerdekaan secara umum, umat Islam dan rakyat negara ini hanya menelusuri pengalaman pahit retetan siri penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris serta ancaman komunis. Maka sambutan kemerdekaan itu sekadar dipaparkan dengan kempen perbarisan hari kemerdekaan, sambutan malam kemerdekaan,mengibarkan jalur gemilang dan berbagai perayaan fizikal yang ditampilkan.


Sudah tentu sepanjang tempoh sebelum kemerdekaan, kita terpanggil mengimbas semula detik pahit maung yang dilalui. Walaupun ketika ini ada polimik yang melibat tokoh politik dan akademik bersangkutan sejarah, siapa tokoh tulen dan perjuangan kemerdekaan yang perlu ditulis semula, namun ada sudut lain yang juga cukup penting untuk dihayati. Sewajarnya kita mengambil ‘ibrah (pengajaran) serta muhasabah (penilaian semula) ke dalam diri dan jiwa kita. Benarkah selepas 54 tahun kemerdekaan ini kita benar-benar merdeka dari segala bentuk belenggu dan jajahan? Apakah umat Islam hari ini faham apa erti kemerdekaan yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Adakah umat Islam kini boleh berbangga dengan keadaan diri sendiri? Adakah kemerdekaan yang dikecapi kini turut membuatkan umat Islam bebas dari kehidupan jahiliah dari sudut jiwa, akal dan tingkah laku? Adakah kita merdeka dari jiwa hamba atau kita hanya menjadi seorang yang hanya ghairah bernostalgia? Maka sudah tentu jawapan untuk semua persoalan di atas, kita umat Islam wajib menilai dan memahami erti “kemerdekaan” atau “huriyyah” dari sudut perspektif Islam.


Setiap indivudu muslim perlu sedar bahawa sejarah kemerdekaan hakiki dirinya bermula apabila kehidupannya berpegagang teguh dan menyakini secara syumul kalimah “syahadahtain” bermaksud “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah” Bermula dari kalimah inilah umat Islam diajar memahami harga diri. Di sinilah umat yang terbelenggu jiwa hamba, akal dan tingkah laku jahilliahnya dibebaskan untuk bangkit sehingga umat Islam berjaya menguasai dan memimpin dunia suatu ketika. Maknanya “Tawhid” itu mempunyai kaitan penting untuk melahirkan insan yang berjiwa merdeka dari aspek jiwa hamba, akal dan tingkah laku yang akhirnya mengeluarkan dan membebaskan umat daripada kegelapan, kesesatan, perhambaan kepada cahaya (nur) yang sebenarnya dari Allah swt.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada nur (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut, yang mengeluarkan mereka dari nur (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah Ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 257)


Sewajarnya kita menekuni sirah bagaimana kekuatan tawhid atau akidah itu telah memerdekakan jiwa, akal dan tingkah laku al-sabiqun-ul-awwalun atau kumpulan sahabat Rasulullah saw di awal Islam sebagai pegangan hidup. Kenapa umat Islam tidak terpengaruh dan mengkagumi kekuatan tawhid, keberanian dan kesabaran yang luar biasa sahabat yang berkulit hitam dari Habsyah bernama Bilal ibn Rabah. Beliau mempertaruhkan nyawa dengan penyeksaan yang tidak terperi apabila timbunan batu di letakkan di atas dada dan tubuhnya. Semua penderitaan itu akan di hilangkan sekiranya Bilal kembali mengakui ketuhanan penyembahan berhala. Luar biasa apabila Bilal hanya mengungkapkan ahad, ahad, ahad yang bermaksud “yang satu, yang satu” merujuk kepada Allah yang satu. Beliau kekal bertahan sehingga dimerdekakan dari penyeksaan fizikal yang dahsyat itu. Bagaimana pula dengan kehebatan tokoh perajurit perang Islam yang hebat bernama Rabi’y Ibn Amir ketika berada di hadapan Raja yang zalim bernama Rustam dari Parsi bersama panglima-panglimanya dalam peristiwa peperangan al-Qadasiyyah. Rustam cuba menggertak dan menjatuhkan psikologi Rabi’y Ibn Amir. Seperti yang dinukilkan oleh al-Syahid Syed Qutb di dalam karyanya yang masyhur “petunjuk sepanjang jalan”, Rabi`y bin Amir, Hudzaifah bin Muhshin, dan al-Mughirah bin Syu`bah kepada Rustum, jeneral pasukan Parsi di dalam peperangan al-Qadasiyyah, saat Rustam bertanya kepada mereka bertiga seorang demi seorang selama tiga hari berturut-turut, sebelum peperangan dimulai, "Apa yang mendorong kalian berperang?" Mereka menjawab, "Allah mengutus kami agar kami mengeluarkan orang-orang yang Ia kehendaki dari penghambaan sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah. Dari kesempitan dunia menuju keluasannya. Dari kezaliman agama-agama lain menuju keadilan agama Islam. Lalu, ia mengutus utusanNya dengan agama untuk makhlukNya. Barangsiapa yang menyambut kami, akan kami sambut dengan baik pula dan kami kembali secara baik-baik, kami biarkan, tidak kami ganggu tanahnya. Barangsiapa yang membangkang, akan kami bunuh hingga kami mati syahid dan masuk syurga atau kami mendapat kemenangan yang gemilang." Semua tokoh yang disebutkan di atas merupakan sebahagian wira-wira atau hero-hero Islam yang benar-benar merdeka jiwa, akal dan tingkah laku dari belenggu kegelapan, kezaliman dan kesesatan masyarakat jahiliyyah.


Kemerdekaan yang tulen itu juga merujuk kepada kesaksamaan hak antara semua manusia dan meletakkan asas takwa sebagai elemen penting bagi keagungan dan kemuliaan sesuatu bangsa termasuk bangsa Melayu sendiri. Merujuk dengan peringatan Rasulullah saw “Tidak ada kelebihan bagi seseorang Arab ke atas seorang ‘ajam (bukan Arab)kecuali ketakwaannya.” Kemerdekaan itu juga dikaitkan dengan lahirnya unsur-unsur keadilan (al-adalah) dan keihsanan (al-ihsan).


Sesuai dengan peringatan Allah swt:


“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Al-Nahl:90)


Umat Islam yang benar-benar merdeka itu juga adalah umat yang turut mengambil berat dengan penderitaan saudara-saudara seagama melampaui batas bangsa semata-mata dan merentasi garisan persempadanan geografi.


Lihatlah peringatan Allah swt yang bermaksud:


“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu memperolehi rahmat.” (al-Hujuraat: 10)


Merdekalah dengan cara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya, jangan sampai kita melanggar batas agama ketika meraikan kemerdekaan. Jangan banyak berhibur yang terkinja-kinja, lalai atas suruhan agama, bersorak-sorak dan sebagainya yang tidak mencerminkan alhlak Islam yang mulia.


Al-Faqir ilallah

No comments: