Monday, August 8, 2011

Ramadhan: Tempat Pedagang Akhirat

Assalamualaikum . Alhamdulillah, saya mengajak diri, mukminin dan mukminat yang di rahmati Allah sekelian memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana nikmat Islam, Iman dan juga kelangsungan hidup sehingga Ramadhan sekalian kalinya tahun1432 H.

Ramadhan merupakan bulan besar untuk mengerjakan berbagai kebaikan yang sememangnya diberikan olehAllah SWT kepada manusia. Ketahuilah,Ramadhan merupakan pasar atau pekan raya bagi orang-orang yang bertakwa dan juga saat-saat yang laris bagi orang salih untuk berurus niaga. Peniaga yang bijak tahu ketika mana barangan perniagaan yang laris untuk diniagakan.

Dunia mempunyai para peniaga dan juga akhirat juga ada peniaganya. Pedagang dunia sentiasa mencari ruang, masa dan saat-saat yang betul untuk memperolehi keuntungan maksimum. Begitu juga dengan peniaga akhirat, juga menunggu dan mencari ruang, masa, dan saat-saat untuk memaksimumkan keuntungannya. Ketahulah ! keuntungan kedua-dua peniaga ini sangat berbeza. Keuntungan peniaga akhirat adalah ampunan dari Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sesuai dengan peringatan Allah SWT;


Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
(An-Nur:37)

Maka dengan peringatan ini janganlah kita mencari untung dunia semata-mata seperti berurusniaga di pasar ramadhan sehingga penat dan hilang fokus ibadah dalam bulan ramadhan, berhibur dengan mendengar nyanyian yang melalaikan setelah penat berpuasa di siang hari, gagal mengawal tuturkata daripada pembohongan, tidak berani menyatakan hak dan menyanggah kebatillan, menyokong kezaliman , menyebar fitnah dan berbagai kefasadan di atas muka bumi ini. Takutilah saat-saat yang disebutkan dalam ayat diatas


“Hari di mana Hati dan Penglihatan menjadi goncang”


Semoga Ramadhan kali benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam apabila kita tupikan adab-adab berpuasa dan banyak membaca, memahami, meneliti dan mengamalkan al-Qur’an. Maka beruntunglah bagi siapa yang dimintakan syafaatoleh bulan Ramadhan dan Al-Qur’an , Rasulullah SAW bersabda yang mafhumya,

“Puasa dan al-Qur’an itu akan memintakan syafaat bagi hamba pada hari kiamat. Puasa berkata, Wahai Rabbku, aku mencegahnya makan dan syahwat di waktu siang, maka berilah orang ini syafaat kerananya. Berkata al-Qur’an, “Aku mencegahnya tidur pada malam hari, maka berilah orang ini syafaat kerananya. Beliau bersabda, kedua-duanya memintakan syafaat.”

(Diriwayatkan Ahmad, Ath-Thabrany dan al-Hakim)



Sesungguhnya Allah menganugerahkan bulan yang mulia ini saban tahun sebagai tetamu agung. Ada manusia yang gembira dan penuh syahdu ketika menyambutnya. Malang pula ada yang menyambutnya dengan rungutan dan kekasalan sehingga ia keluar dari bulan Ramadhan dalam keadaan lebih parah akhlaknya di sisi Allah AWT. Na uzubillahi min zalik (aku minta perlidungan darinya)

Mungkin Ramadhan kali ini kali terakhir buat kita. Berdoalah agar keampunan dan rahmat diperolehi dalam Ramadan kali ini. Semoga Allah panjangkan usia kita dalam beribadah sehingga selesai Ramadhan kali ini. Amin

Al-Faqir ilallah..,

No comments: