Soalan
dari Sinar kepada YDP ABIM Perak pada 16-12-12
Beri pandangan sedikit berkaitan
kenyataan Mufti Perak yang bertegas tidak akan sertai parti politik...
Jawapan
Sememangnya kenyataan ini selaras dengan jawatan yang
disandang sebagai Mufti Perak. Institusi Mufti perlu berdiri atas asas dan
pendirian yang dituntut oleh agama dalam menentukan yang hak dan batil.
Kenyataan ini sangat baik kerana ketika ini, ABIM tidak menafikan pandangan
sebahagian pihak yang melihat Mufti lebih cenderung mendokong parti politik
tertentu.
Pada pandangan Abim mengapa agaknya
perhatian politik masa kini mahu menarik penglibatan mereka yang pakar dalam
keilmuan dan agama.
Jawapan
Bukan
sahaja perhatian politik masa kini, tetapi sepanjang zaman penglibatan mereka
yang pakar dalam keilmuan dan agama sangat penting dalam memberi penjelasan
yang konkrit dalam politik. Ini kerana politik tidak terpisah dengan Islam.
Para mufti perlu menjadi tunjang dalam membela isu agama agar jangan
dipermainkan. Misalnya dalam isu yang menyentuh isu penghinaan MCA terhadap
hudud yang begitu kerap kedengaran. Para mufti perlu memberi kenyataan yang
tegas kepada pihak yang tidak beragama Islam agar tidak mencampuri isu sensitif
yang menyentuh hak Islam. Tambahan isu yang berkaitan agama ini di bawah kuasa
urusan hal ehwal Islam, yang dinaungi
oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung
serta Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Negeri-negeri Melayu. Sebarang perkara
berkaitan Islam termasuk hudud yang dibicarakan oleh pihak-pihak tertentu telah
secara langsung menyentuh bidang kuasa Yand Dipertuan Agong dan Raja-Raja
Melayu sebagai ketua agama di negara ini.
Adakah Abim menyokong penuh
pendirian yang diambil Mufti Perak itu.
ABIM menghormati pandangan yang diambil oleh Mufti Perak. Pendirian
ini perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih praktikal dari semasa ke
semasa.