Wednesday, August 31, 2011

Jadikanlah diri "Rabbani", bukannya "Ramadhani"

Bulan Ramadhan sudah berlalu. Timbulkanlah persoalan, sama ada Ramadhan sebagai saksi yang meringankan atau menjadi saksi yang memberatkan kita. Ramadhan yang berlalu akan menjadi pemberi syafaat bagi orang yang berpuasa, membaca al-Qur’an dan solat malam dengan baik kerana dorongan iman dan mencari keredhaan Allah SWT, sehingga dosa-dosanya yang lalu diberi keampunan. Walau bagaimanapun, Ramadhan juga akan menjadi saksi bagi sesiapa yang berpuasa dan solat malam dengan cara yang tidak baik, sehingga puasanya hanya mendapatkan lapar, dahaga dan mendapat letih dan mengantuk sahaja . Bagaimana pula keadaan manusia yang mengaku Islam yang tidak berpuasa dan tidak solat malam?

Rasulullah saw bersabda;

Sesiapa yang tidak berpuasa dari bulan Ramadhan tanpa ada rukhsah (yang ada keringanan) dan tidak pula sakit, maka tidak ada puasa selama setahun penuh yang dapat mengqadha’nya (menggantikan) meskipun dia melakukan puasa qhada’ itu.”

(Diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tirmidzy, An-Nasa’iy, Ibnu Majah dan Ahmad)


Menurut Dr.Yusuf Al-Qardhawy, walaupun hadis dari Abu Hurairah ini dhaif, memadailah sebagai peringatan tentang dosa yang ada dan pahala yang terlepas dari tangan.


Ada pula manusia yang menghadap Allah hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila berakhirnya Ramadhan, maka berakhirlah pula pengabdian tulus dan intim dengan Rabnya. Secara automatik terputuslah tali penghubung antara dirinya dan Rabnya. Tamat Ramadhan, bererti tamatlah solat berjemaah di masjid, tidak lagi ghairah dengan membaca al-Qur’an, lidah tidak lagi basah berzikir, tidak ada solat malam malah, mata dibenarkan semahu-mahunya melihat apa sahaja, begitu juga dengan telinga, kaki yang kembali bebas ke mana sahaja menurut nafsu, serta perut yang kenyang melampaui batas. Seolah-olah Allah SWT hanya layak ditaati dan di sembah serta ditakuti hanya pada bulan Ramadhan, dan tidak ada lagi pada bulan-bulan lain selepas itu. Sesungguhnya sesiapa yang menyembah Ramdhan, ketahuilah bulan Ramadhan telah tiada dan berlalu. Sementara Allah SWT tidak pernah mati dan akan terus wujud.


Jadikanlah diri kita Rabbni, artinya jadikan diri kita sentiasa bersama dan taatkan Allah serta bertakwa kepadaNya, di mana-mana sahaja tidak kira waktu, masa dan tempat. Bukannya menjadi Ramadhani, yang bermaksud janganlah kita hanya menghadap Allah pada bulan Ramadhan dan selepas berlalunya bulan Ramadhan, kita melupakan arahan dan tegahan Allah dan terjerumus ke lembah kedurhakaan serta maksiat. Apa selepas Ramadhan? Pembuktian anugerah takwa dapat dilihat dengan meneruskan agenda pengabdian tulus terhadap Allah swt,


1. Melaksanakan puasa enam hari di bulan syawal selepas Ramadhan dan rebutlah anugerah ganjaran berdasarkan dari Abu Ayyub Al-Anshari r.a meriwayatkan dari Nabi saw,


Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka pahalanya seperti ia berpuasa selama setahun” (HR.Muslim).


Berpuasa enam hari pada bulan Syawal ialah merupakan amalan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya secara berterusan dan tidak terputus dengan pengabdian tulus pada bulan Ramadhan. Orang yang berpuasa selepas Ramadhan seolah-olah orang yang cepat-cepat berenang ke pantai apabila mula merasa dirinya sudah jauh di tengah lautan. Ketahuilah amat sedikit manusia yang sedih, sayu dan merindui Ramadhan disebabkan perasaan serik kelaparan, kehausan, tidak boleh merokok, dan aktiviti lain yang ditegah ketika berpuasa. Perasaan inilah yang menyulitkan untuk berpuasa lagi. Pada hal, orang yang bersegera berpuasa setelah Idul Fitri merupakan bukti kecintaan yang tinggi terhadap Allah dan RasulNya.


2. Membiasakan puasa selepas Ramadhan menandakan puasanya di bulan Ramadhan diterima oleh Allah swt, kerana apabila Allah SWT menerima amal seseorang hamba, pasti Dia akan mendorong dan membantu hambaNya melaksanakan perbuatan baik seterusnya. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang itu melakukan sesuatu yang nampak baik lalu diikuti dengan perbuatan buruk maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amalan yang pertama.
Umat Islam yang malang selepas Ramadhan berlalu bukannya mereka yang di lihat miskin tidak berharta, atau mereka yang tidak ada jamuan yang enak-enak di hari lembaran atau mereka yang tidak berupaya mengadakan rumah terbuka, tidak ada baju yang mahal-mahal dan pemandangan seronok yang biasa menjadi ukuran pada Hari Raya. Mereka yang malang itu ialah apabila sebulan berpuasa gagal membentuk diri sebagai mukmin yang benar-benar bertakwa yang diredhai oleh Allah SWT. Antara perkara malang yang ditunjukkan, ialah Hari Raya Idul Fitri pada 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan mengawal nafsu, telah digantikan dengan sewenang-wenangnya dengan perbuatan maksiat. Maka termasuklah golongan ini orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Maka jadilah mereka golongan orang-orang yang menghancurkan bangunan yang megah setelah berhempas pulas membinanya.


Allah SWT berfirman,


“ Dan janganlah kamu seperti orang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi cerai-berai kembali.”

(An-Nahl:92)


Apa yang dimaksudkan dengan kekufuran? Antara pebuatan kufur ialah mendengar dan melihat nyanyian perempuan yang tidak menutup aurat di waktu yang sama nyanyian itu tidak mengajak manusia ingat akan kebesaran Allah, menghadiri program keramaian yang melampau dan melanggar batas dari sudut pergaulan lelaki dan perempuan, pertuturan yang sia-sia, pembaziran hidangan juadah, termasuklah berbelanja banyak membeli mercun, dibakar di malam hari yang merupakan budaya sonsang selain daripada sia-sia ia juga menganggu ketenangan orang lain termasuklah orang-orang tua yang uzur, kanak-kanak kecil yang tidur dan sebagainya. Ini semua tegahan yang jelas oleh Allah. Bagaimana kita boleh merayakan kemenangan dan besyukur pada Allah di hari lembaran pada waktu yang sama melakukan perbuatan yang di tegah secara jelas oleh Allah SWT.


Mungkin ada dua sebab yang memungkin perkara ini berlaku, pertama kerana kejahilan atau kedua sengaja meringankan arahan dan tegahan dari Allah dengan alasan masa masih panjang untuk bertaubat, masa berseronok untuk sekali-sekala, esok masih sempat untuk bertaubat, dan berbagai lagi cetusan alasan yang ada. Kalau faktor jahil, sudah ada banyak peringatan yang didengar, dibaca dan dinasihatkan. Ingatlah tamatnya Ramadhan, umur hanya tinggal baki sahaja. Apa sahaja yang berbaki tidaklah banyak. Benda atau perkara yang boleh dilihat secara fizikal seperti air di dalam botol atau gelas akan nampak baki yang tertinggal apabila sebahagiannya diminum.


Umur berbaki tidak nampak dan di sembunyikan oleh Allah SWT. Jangan ingat umur 25 tahun, saya mungkin meninggal di kala usia 60 tahun. Siapa kata? Hanya Rasulullah SAW ada memberi peringatan, bahawa umur umatku antara 60 hingga 70 tahun sahaja. Maka manfaatkan ruang dan masa yang berbaki ini dengan merendahkan diri pada Allah, lakukanlah ketaatan yang penuh sebelum kematian menjemput. Nafikan ketundukan kepada makhluk dan bersaksi bahawa kekuasaan hanya milik Dzul Jalal Wal Ikram (Yang Maha Memilki Kebesaran dan Kemuliaan),” Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.


Al-Faqir ilallah

Monday, August 8, 2011

Ramadhan: Tempat Pedagang Akhirat

Assalamualaikum . Alhamdulillah, saya mengajak diri, mukminin dan mukminat yang di rahmati Allah sekelian memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana nikmat Islam, Iman dan juga kelangsungan hidup sehingga Ramadhan sekalian kalinya tahun1432 H.

Ramadhan merupakan bulan besar untuk mengerjakan berbagai kebaikan yang sememangnya diberikan olehAllah SWT kepada manusia. Ketahuilah,Ramadhan merupakan pasar atau pekan raya bagi orang-orang yang bertakwa dan juga saat-saat yang laris bagi orang salih untuk berurus niaga. Peniaga yang bijak tahu ketika mana barangan perniagaan yang laris untuk diniagakan.

Dunia mempunyai para peniaga dan juga akhirat juga ada peniaganya. Pedagang dunia sentiasa mencari ruang, masa dan saat-saat yang betul untuk memperolehi keuntungan maksimum. Begitu juga dengan peniaga akhirat, juga menunggu dan mencari ruang, masa, dan saat-saat untuk memaksimumkan keuntungannya. Ketahulah ! keuntungan kedua-dua peniaga ini sangat berbeza. Keuntungan peniaga akhirat adalah ampunan dari Allah dan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai sesuai dengan peringatan Allah SWT;


Lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) Yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.
(An-Nur:37)

Maka dengan peringatan ini janganlah kita mencari untung dunia semata-mata seperti berurusniaga di pasar ramadhan sehingga penat dan hilang fokus ibadah dalam bulan ramadhan, berhibur dengan mendengar nyanyian yang melalaikan setelah penat berpuasa di siang hari, gagal mengawal tuturkata daripada pembohongan, tidak berani menyatakan hak dan menyanggah kebatillan, menyokong kezaliman , menyebar fitnah dan berbagai kefasadan di atas muka bumi ini. Takutilah saat-saat yang disebutkan dalam ayat diatas


“Hari di mana Hati dan Penglihatan menjadi goncang”


Semoga Ramadhan kali benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam apabila kita tupikan adab-adab berpuasa dan banyak membaca, memahami, meneliti dan mengamalkan al-Qur’an. Maka beruntunglah bagi siapa yang dimintakan syafaatoleh bulan Ramadhan dan Al-Qur’an , Rasulullah SAW bersabda yang mafhumya,

“Puasa dan al-Qur’an itu akan memintakan syafaat bagi hamba pada hari kiamat. Puasa berkata, Wahai Rabbku, aku mencegahnya makan dan syahwat di waktu siang, maka berilah orang ini syafaat kerananya. Berkata al-Qur’an, “Aku mencegahnya tidur pada malam hari, maka berilah orang ini syafaat kerananya. Beliau bersabda, kedua-duanya memintakan syafaat.”

(Diriwayatkan Ahmad, Ath-Thabrany dan al-Hakim)



Sesungguhnya Allah menganugerahkan bulan yang mulia ini saban tahun sebagai tetamu agung. Ada manusia yang gembira dan penuh syahdu ketika menyambutnya. Malang pula ada yang menyambutnya dengan rungutan dan kekasalan sehingga ia keluar dari bulan Ramadhan dalam keadaan lebih parah akhlaknya di sisi Allah AWT. Na uzubillahi min zalik (aku minta perlidungan darinya)

Mungkin Ramadhan kali ini kali terakhir buat kita. Berdoalah agar keampunan dan rahmat diperolehi dalam Ramadan kali ini. Semoga Allah panjangkan usia kita dalam beribadah sehingga selesai Ramadhan kali ini. Amin

Al-Faqir ilallah..,