Wednesday, September 28, 2011

Hukum Syarak dan Melayu, Tunggak Utama Tanah Melayu

Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak. Di negeri Perak, Undang-undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak, Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing.”
Alhamdulillah, setelah dianugerahkan nikmat Islam dan ditakdirkan lahir sebagai Melayu di negeri Perak, saya sangat terharu dan berbangga dengan kenyataan ini yang telah diangkat oleh Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah di Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia pada tarikh 26 September 2011 baru-baru ini. Kenyataan tersebut membuktikan Hukum Syarak yang dimaksudkan itu ialah hukuman atau perundangan Islam yang selari dengan Al-Quran dan Hadis. Maknanya negara Malaysia ini dahulu telah ada undang-undang Islam yang dominan atas kesedaran dan kehendak yang besar oleh pemerentah Raja-raja Melayu. Soalnya kenapa sebahagian pemimpin melayu Islam, ahli politik melayu Islam dan sebahagian kecil melayu Islam mengkritik pihak yang mahu menyokong hukuman hudud, mempersendakannya malah dengan “confident” membuat kenyataan “Hudud tidak boleh dilaksanakan”. Sangat memalukan, bukan sahaja malu kepada orang bukan Islam, tetapi terhina di sisi Allah dan RasulNya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka mereka itulah orang-orang yang zalim."(Surah al-Baqarah:229)

Sepatutnya wajib umat Islam secara keseluruhannya mempromosi hukuman hudud kepada yang bukan Islam. Ketepikan sentimen politik. Malangnya, sesetengah pemimpin sendiri yang menampakkan kejahilannya dan menjadi jaguh menentang hudud secara sembunyi dan terang-terangan. Hukuman hudud ( حدود ), merupakan hukuman yang telah ditentukan serta ditetapkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T . Bukan hak kita. Hukuman ini bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti malah tidak boleh sama sekali diubahsuai atau dipinda. Malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini. Sesiapa di kalangan manusia yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya, termasuklah mereka dalam golongan orang yang zalim.
Apa kesalahan yang wajib dikenakan hukuman hudud? Merujuk kepada kitab fiqh jinayat antara kesalahannya ialah termasuklah;

1. Melakukan zina iaitu persetubuhan di luar nikah yang sah berdasarkan hukum syarak.
2. Menuduh orang lain berzina (Qazaf) iaitu membuat tuduhan zina ke atas orang yang baik, atau umumnya beliau dikenali baik lagi suci, menafikan keturunannya, serta tuduhan tanpa bukti disebut oleh Allah iaitu empat orang saksi.
3. Meminum arak atau yang memabukkan, sedikit atau tidak, sama ada mabuk atau tidak.
4. Murtad iaitu orang yang keluar dari ajaran Islam sama ada dengan perbuatan, perkataan, atau dengan i’tiqad kepercayaan.
5. Mencuri yang bermaksud memindahkan harta orang lain secara sembunyi dari tuannya dengan niat menghilangkan atau mengambil harta itu.
6. Hirabah atau merompak yang bermaksud seseorang atau kumpulan yang mempunyai niat dan tujuan mengambil harta, membunuh atau menakutkan pihak lain dengan kekerasan.
7. Bughat yang bermaksud segolongan umat Islam yang melawan atau menderhaka kepada pemerintah yang menjalankan syariat Islam dan hukum Islam

ABIM mengajak umat Islam memandang serius polimik hukuman hudud ketika ini. Jika ini berterusan, kita khuatir akan lahir persepsi negatif terhadap hukuman Allah ini. Umat Islam perlu yakin hukuman hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak dan kemahuan politik yang tinggi dan serius dengan mengambil kira penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada. Timbul persoalan, bila dan adakah kehendak politik yang kuat dan berkuasa mahu melaksanakannya secara serius dan bersistematik? Dalam konteks ini, ABIM ingin merujuk kepada hasil kajian yang bertajuk Values Dreams Ideals Muslim Youth In Southeast Asia: Surveys in Indonesia and Malaysia (terbitan 2011) yang dilakukan Merdeka Centre, Goethe Institute dan Yayasan Fredrich Naumann baru-baru ini.

Temuramah yang dijalankan ke atas 1060 orang responden belia Islam mendapati majoriti belia Islam mahukan perundangan jenayah Islam diamalkan secara meluas di negara ini termasuklah pelaksanaan hukuman sebat untuk kesalahan minum arak (92.4%), hukuman mati untuk kesalahan membunuh atau Qisas (92.5%) dan 71.5% bersetuju untuk hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.

Walaupun tidak konklusif tetapi kajian ini masih mampu memberi indikasi jelas bahawa generasi muda dan belia Islam di negara ini mempunyai persepsi yang positif terhadap pelaksanaan perundangan jenayah Islam. ABIM yakin melalui pelaksanaan program pendidikan dan penerangan yang lebih sistematik serta road map yang jelas ke arah pelaksanaan hukum hudud, masyarakat akan lebih jelas. Malah tentang hakikat sebenar pelaksanaan hukuman hudud yang menekankan keadilan dan menolak syubhah atau keraguan

Bagaimana masyarakat bukan Islam? Sampaikan kepada mereka semua. Siapa yang nak sampaikan? Kitalah yang beragana Islam yang wajib sampaikan ! Paling tidak katakan “Jangan khuatir kerana hukuman hudud itu hanya terpakai dan hanya membabitkan umat Islam sahaja”. Malah hukuman Hudud atau perundangan Islam juga turut menjamin serta memelihara hak serta kebebasan orang bukan Islam untuk kekal hidup dengan agama dan budaya masing-masing. Ini jaminan Islam!. Kepada yang bukan Islam, pengalaman telah ada bahawa sistem Islam yang suatu ketika dahulu dilihat secara negatif telah berjaya dilaksanakan dan bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia berbilang kaum antaranya berjaya memberi alternatif kepada sistem kewangan dan perbankan konvensyenal di Malaysia. Perkara lain perlu dilihat dan tidak mustahil mampu dan boleh dilakukan terutamanya perlaksanaan sistem perundangan jenayah Islam atau hukuman Hudud. ABIM semenjak penubuhannya pada 1971 telah menyatakan komitmen serta sokongannya terhadap perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini. Justeru sudah tiba masanya ia dijunjung serta diletakkan di tempat yang sewajarnya bersesuaian dengan status Islam sebagai agama Persekutuan. Nasihat dalam kesempatan ini, khusus untuk pemimpin beragama Islam, ahli siyasah, tokoh ilmuan Islam, yang menjadi mantan pimpinan, sehinggalah yang duduk bersembang santai tidak kira dimana sahaja. Hati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, jangan sampai silap percaturan, hukuman dari Allah dijadi bahan gurauan, bukan sahaja hilang penguasaan malah yang lebih mengerunkan mengundang kemurkaan (Allah), terburai ikatan syahadahtain, yang meloncat kegembiraan, musuh Islam, hantu bonceng dan syaitan.
Al-Faqir ilallah

Wednesday, September 7, 2011

ISLAM DALAM PERSOALAN HURIYYAH (KEMERDEKAAN)-Bahagian 1

Tahun 2011 bersamaan 1432 H, sambutan hari kemerdekaan negara kita kali ke 54 telah ditunda pada tarikh 16 September, serentak dengan sambutan hari pemasyhuran Malaysia iaitu pada tarikh 16 September 1963. Sebelumnya negara ini dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada 1957. Dalam erti kemerdekaan secara umum, umat Islam dan rakyat negara ini hanya menelusuri pengalaman pahit retetan siri penjajahan Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris serta ancaman komunis. Maka sambutan kemerdekaan itu sekadar dipaparkan dengan kempen perbarisan hari kemerdekaan, sambutan malam kemerdekaan,mengibarkan jalur gemilang dan berbagai perayaan fizikal yang ditampilkan.


Sudah tentu sepanjang tempoh sebelum kemerdekaan, kita terpanggil mengimbas semula detik pahit maung yang dilalui. Walaupun ketika ini ada polimik yang melibat tokoh politik dan akademik bersangkutan sejarah, siapa tokoh tulen dan perjuangan kemerdekaan yang perlu ditulis semula, namun ada sudut lain yang juga cukup penting untuk dihayati. Sewajarnya kita mengambil ‘ibrah (pengajaran) serta muhasabah (penilaian semula) ke dalam diri dan jiwa kita. Benarkah selepas 54 tahun kemerdekaan ini kita benar-benar merdeka dari segala bentuk belenggu dan jajahan? Apakah umat Islam hari ini faham apa erti kemerdekaan yang selari dengan al-Qur’an dan al-Sunnah? Adakah umat Islam kini boleh berbangga dengan keadaan diri sendiri? Adakah kemerdekaan yang dikecapi kini turut membuatkan umat Islam bebas dari kehidupan jahiliah dari sudut jiwa, akal dan tingkah laku? Adakah kita merdeka dari jiwa hamba atau kita hanya menjadi seorang yang hanya ghairah bernostalgia? Maka sudah tentu jawapan untuk semua persoalan di atas, kita umat Islam wajib menilai dan memahami erti “kemerdekaan” atau “huriyyah” dari sudut perspektif Islam.


Setiap indivudu muslim perlu sedar bahawa sejarah kemerdekaan hakiki dirinya bermula apabila kehidupannya berpegagang teguh dan menyakini secara syumul kalimah “syahadahtain” bermaksud “Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah” Bermula dari kalimah inilah umat Islam diajar memahami harga diri. Di sinilah umat yang terbelenggu jiwa hamba, akal dan tingkah laku jahilliahnya dibebaskan untuk bangkit sehingga umat Islam berjaya menguasai dan memimpin dunia suatu ketika. Maknanya “Tawhid” itu mempunyai kaitan penting untuk melahirkan insan yang berjiwa merdeka dari aspek jiwa hamba, akal dan tingkah laku yang akhirnya mengeluarkan dan membebaskan umat daripada kegelapan, kesesatan, perhambaan kepada cahaya (nur) yang sebenarnya dari Allah swt.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada nur (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut, yang mengeluarkan mereka dari nur (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah Ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 257)


Sewajarnya kita menekuni sirah bagaimana kekuatan tawhid atau akidah itu telah memerdekakan jiwa, akal dan tingkah laku al-sabiqun-ul-awwalun atau kumpulan sahabat Rasulullah saw di awal Islam sebagai pegangan hidup. Kenapa umat Islam tidak terpengaruh dan mengkagumi kekuatan tawhid, keberanian dan kesabaran yang luar biasa sahabat yang berkulit hitam dari Habsyah bernama Bilal ibn Rabah. Beliau mempertaruhkan nyawa dengan penyeksaan yang tidak terperi apabila timbunan batu di letakkan di atas dada dan tubuhnya. Semua penderitaan itu akan di hilangkan sekiranya Bilal kembali mengakui ketuhanan penyembahan berhala. Luar biasa apabila Bilal hanya mengungkapkan ahad, ahad, ahad yang bermaksud “yang satu, yang satu” merujuk kepada Allah yang satu. Beliau kekal bertahan sehingga dimerdekakan dari penyeksaan fizikal yang dahsyat itu. Bagaimana pula dengan kehebatan tokoh perajurit perang Islam yang hebat bernama Rabi’y Ibn Amir ketika berada di hadapan Raja yang zalim bernama Rustam dari Parsi bersama panglima-panglimanya dalam peristiwa peperangan al-Qadasiyyah. Rustam cuba menggertak dan menjatuhkan psikologi Rabi’y Ibn Amir. Seperti yang dinukilkan oleh al-Syahid Syed Qutb di dalam karyanya yang masyhur “petunjuk sepanjang jalan”, Rabi`y bin Amir, Hudzaifah bin Muhshin, dan al-Mughirah bin Syu`bah kepada Rustum, jeneral pasukan Parsi di dalam peperangan al-Qadasiyyah, saat Rustam bertanya kepada mereka bertiga seorang demi seorang selama tiga hari berturut-turut, sebelum peperangan dimulai, "Apa yang mendorong kalian berperang?" Mereka menjawab, "Allah mengutus kami agar kami mengeluarkan orang-orang yang Ia kehendaki dari penghambaan sesama manusia kepada penghambaan hanya kepada Allah. Dari kesempitan dunia menuju keluasannya. Dari kezaliman agama-agama lain menuju keadilan agama Islam. Lalu, ia mengutus utusanNya dengan agama untuk makhlukNya. Barangsiapa yang menyambut kami, akan kami sambut dengan baik pula dan kami kembali secara baik-baik, kami biarkan, tidak kami ganggu tanahnya. Barangsiapa yang membangkang, akan kami bunuh hingga kami mati syahid dan masuk syurga atau kami mendapat kemenangan yang gemilang." Semua tokoh yang disebutkan di atas merupakan sebahagian wira-wira atau hero-hero Islam yang benar-benar merdeka jiwa, akal dan tingkah laku dari belenggu kegelapan, kezaliman dan kesesatan masyarakat jahiliyyah.


Kemerdekaan yang tulen itu juga merujuk kepada kesaksamaan hak antara semua manusia dan meletakkan asas takwa sebagai elemen penting bagi keagungan dan kemuliaan sesuatu bangsa termasuk bangsa Melayu sendiri. Merujuk dengan peringatan Rasulullah saw “Tidak ada kelebihan bagi seseorang Arab ke atas seorang ‘ajam (bukan Arab)kecuali ketakwaannya.” Kemerdekaan itu juga dikaitkan dengan lahirnya unsur-unsur keadilan (al-adalah) dan keihsanan (al-ihsan).


Sesuai dengan peringatan Allah swt:


“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Al-Nahl:90)


Umat Islam yang benar-benar merdeka itu juga adalah umat yang turut mengambil berat dengan penderitaan saudara-saudara seagama melampaui batas bangsa semata-mata dan merentasi garisan persempadanan geografi.


Lihatlah peringatan Allah swt yang bermaksud:


“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu memperolehi rahmat.” (al-Hujuraat: 10)


Merdekalah dengan cara yang diredhai oleh Allah dan Rasulnya, jangan sampai kita melanggar batas agama ketika meraikan kemerdekaan. Jangan banyak berhibur yang terkinja-kinja, lalai atas suruhan agama, bersorak-sorak dan sebagainya yang tidak mencerminkan alhlak Islam yang mulia.


Al-Faqir ilallah