Wednesday, May 4, 2011

DATUK T PERLU TINDAKAN QAZAF

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan-tohmahan, terutama tohmahan-tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh satu perbuatan yang haramkan secara tegas dalam Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T. dan azab-Nya.

Ini kerana tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyebabkan kemuliaan diri orang-orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Ia juga boleh menyebabkan orang ramai buruk sangka terhadapnya.

Orang-orang yang rendah akhlaknya mungkin boleh melakukan tindakan-tindakan yang tidak diinginkan terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, al-Qur’an mengecam keras perilaku seperti ini dan mengancam para pendusta
yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T.:

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang Mukmin dan Mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

Firman Allah S.W.T.:
“Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang lengah (tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan keji) lagi beriman, (dengan tuduhan zina) mereka terkena laknat di dunia dan di akhirat dan bagi mereka azab yang besar.

Pada hari (ketika) lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Pada hari itu Allah akan memberikan mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah
mereka bahawa Allah-lah yang benar, lagi yang menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).” (an-Nur (24): 23-25)

Para ulama telah sepakat (ijma’) mengatakan dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki Mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita Mukminah. Ayat di atas turun dalam seperti ini (menggunakan perkataan Mukminat) kerana ayat
tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin Aisyah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq.

Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W. selepas Khadijah r.a. Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji. Orang-orang munafik menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya.

Orang-orang munafik benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah.

Akhirnya turunlah ayat al-Qur’an tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama Aishah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat.

Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu. Bacalah Firman Allah S.W.T. dalam surah an-nur yang berikut:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kami. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.

Mengapa pada waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: Ini adalah suatu berita bohong yang nyata. Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.” (an-Nur (24): 11-13)

Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah diterangkan secara kiasan dalam undang-undang syariah: seperti besi celak dalm botol dakwat.

Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaimana yang diterangkan di atas maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah S.W.T.

Allah menegaskan bahawa pendusta ini mesti dikenakan hukuman syariah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera dalam al-Qur’an al-Karim, iaitu pada Firman Allah S.W.T.: Inilah hukum Allah yang tegas. Sesiapa yang menuduh orang lain melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan
tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang adil dan tidak cacat keperibadiannya.

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan. Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.” (Surah an-Nur (24): 4-5)

No comments: