Wednesday, January 20, 2010

MURSYIDUL AM IKHWANUL MUSLIMIN KE-8

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak memanjatkan kesyukuran kehadrat ilahi apabila Ikhwanul Muslimin telah mengumumkan Mursyid Am barunya iaitu Dr Muhammad Badi’ Abdul Majid Samy, 67 tahun.Perlantikan tokoh besar ini sebagai Mursyidul Am kelapan bagi jemaah Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh Mursyidul Am Pertama, Imam Hasan Al-Banna pada tahun 1982 merupakan perkara penting untuk memastikan kesinambungan perjuangan. Dr. Muhammad Badi' yang bersedia sebagai Mursyid Am apabila Mursyidul Am KeTujuh, Ustaz Mahdi Akef yang tidak berhasrat menyambung jawatannya apabila umurnya melebihi 80 tahun. Semoga Ustaz Mahdi Akef akan tetap terus memberi sumbangan untuk terus memperkukuhkan gerakan yang tersohor Ikhwanul muslimin. Ustaz Mahdi Akef mengumumkan nama Dr Mohd Badi’ Abd Majid Saamy sebagai Mursyid Am Ikhwan Muslimin kelapan dalam sidang akhbar antarabangsa di Kaherah, Mesir jam 11.00 am (waktu Mesir) tadi.
Latar belakang Dr Muhammad Badi’ lahir pada 7 Ogos 1943 di Al-Mahalla Al-Kubra, negeri Al-Gharbiyah, Mesir. Isteri beliau bernama Sumaiyah Asy-Syanawy, bekas pengetua Madrasah Ad-Dakwah Al-Islamiyah di Bani Suef, Mesir.

Beliau adalah anak kepada Haji Muhammad Ali Asy-Syanawy yang merupakan generasi awal Ikhwan Muslimin dan termasuk yang dijatuhkan hukuman mati oleh kerajaan taghut Mesir dibawah Presiden Jamal Abdul Nasir pada tahun 1954 tetapi kemudiannya diringankan kepada penjara seumur hidup. Mereka dikurniakan tiga orang anak, Ammar, Bilal dan Dhuha. Warga ABIM Perak khususnya mendoakan agar Dr. Muhammad Badi diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan perjuangannya dan semoga dikurnikan kejayaan dunia dan akhirat.


Thursday, January 7, 2010

MEMBANTAH PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Perak ingin menyatakan pendirian berkenaan isu penggunaan kalimah Allah oleh Catholic Herald.

1. Membantah penggunaan kalimah “ALLAH” untuk menggantikan penggunaan perkataan “God” atau “Lord”. Walaupun di kalangan intelektual, agamawan, dan ahli politik di Negara ini berselisih pendapat dengan penggunaan kalimah tersebut, ABIM Perak berpendapat penggunaan kalimah ALLAH dalam akhbar rasmi agama Kristian tersebut dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dikalangan umat Islam secara keseluruhan. Dalam konteks Negara Malaysia terutama di Semenanjung yang telah merdeka lebih 52 tahun ini tidak mungkin boleh di samakan dengan sebahagian tempat atau Negara lain seperti di Sabah dan Serawak, Indonesia atau Mesir yang dikatakan telah lama mempraktikan penggunaan kalimah ALLAH oleh penganut Kristian. Suasana dan keadaan Negara ini perlu diambil kira untuk terus mengekalkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

2. ABIM Perak juga memahami dan menggesa semua pihak menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang selari dengan ajaran Islam di mana tiada paksaan untuk beragama dan ia merupakan pilihan sendiri.

3. ABIM Perak juga ingin mengingatkan bahawa jangan ada sesetengah pihak yang cuba “Menangguk di Air yang Keruh”, dan menimbulkan provokasi, yang akhirnya menghilangkan pertimbangan waras umat Melayu Islam di Negara ini. ABIM sangat yakin perkara ini boleh di selesaikan secara baik dan tenang.

4. ABIM Perak menyarankan agar seluruh umat Islam di Negara ini berdoa dan melakukan solat hajat agar isu ini berjaya di selesaikan dengan baik dan tidak berlaku sebarang kejadian yang buruk.

Sunday, January 3, 2010

SIAPAKAH BIADAP: ANWAR IBRAHIM ATAU MUHAMMAD ZAHID MD ARIP

Membaca kenyataan Muhammad Zahid Md Arip bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan di dalam akhbar Sinar bertarikh 3hb Januari 2009 berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang di dakwa mencerca Islam bahawa agama ini tidak berlaku adil terhadap kaum minoriti berdasarkan akhbar dari Australia berhubung dengan satu persidangan di Melbourne pada 6 Disember 2009 yang lalu sangat mengejutkan. Sebagai seorang Islam apabila mendapat berita seperti ini adalah wajib terlebih dahulu "Tabayyun" atau meminta penjelasan untuk mendapat kepastian bahawa Anwar menyatakan kata-kata yang sedemikian berdasarkan perintah Allah SWT (Al-Hujurat ayat: 6).

Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

Ini adalah kerana Anwar adalah individu yang terkenal sebagai pejuang Islam sejak 40 tahun yang lalu. Hal ini sendiri diiktiraf oleh pemimpin Islam dan Tokoh-tokoh ulama Islam antaranbangsa. Baru-baru ini ialah Prof Dr Yusuf Al-Qardhawi sebagai Pengerusi Ulama Antarabangsa dan Dr. Wahbah Az-Zuhaily sebagai ulama terkemuka antarabangsa yang berasal dari Syria yang kebetulan kedua-dua individu ini telah mendapat pengiktirafan dan anugerah tokoh maal hijrah antarabangsa oleh kerajaan Malaysia. Amat besar pengertiaannya apabila kedua-dua ulama tersohor ini mengambil kesempatan bertemu dengan Anwar untuk memberikan sokongan kepada Anwar dalam menghadapi fitnah yang dihadapi ketika ini. Malah Dr Wahbah Az-Zuhaily meminta semua pihak membantu dan menyokong beliau. Manakala Prof Dr Yusuf Qardhawi pula menyatakan sokongan dan berjanji untuk membawa isu fitnah Anwar kepada ulama-ulama dan pemimpin Islam antarabangsa. Di mana logiknya Anwar dituduh mencerca dan menghina Islam sedangkan ulama tersohor antarabangsa ini memberi sokongan padu terhadap fitnah terhadap Anwar. Adakah dua ulama ini buta dan mudah diperbodohkan tentang Anwar dan tahap kredibilitinya sebagai tokoh pejuang Islam yang terkenal di dunia sehingga beliau tergamak untuk mencerca dan menghina Islam seperti yang di dakwa oleh orang seperti Mohammad Zahid Md Arip ini. Apa yang lebih menyedihkan kenyataan Mohammad Zahid ini bahawa ia menasihatkan dirinya sendiri dan seluruh rakyat Malaysia bahawa Negara ini akan musnah sekiranya seorang lelaki bekas banduan seperti Anwar memerintah Malaysia. Kenyataan ini jelas menghina bekas banduan. Lupakah Zahid bahawa nabi Yusuf AS adalah seorang bekas banduan walaupun telah dibuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Sila semak dan baca peringatan Allah dalam surah Yusuf ayat 27 dan 28.

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang Yang benar ".

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; Sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

Namun beliau masih memilih untuk menjadi banduan. Baca dan semak surah Yusuf ayat 33.
Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata:

"Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa Yang perempuan-perempuan itu ajak Aku kepadaNya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin Aku akan cenderung kepada mereka, dan Aku menjadi dari orang-orang Yang tidak mengamalkan ilmunya".

Akhirnya apabila keluar dari penjara beliau diberi peranan yang cukup penting dan besar dalam kerajaan Mesir. Demikian juga sahabat-sahabat baginda Rasulullah saw ramai yang menjadi banduan oleh tuan-tuan mereka kerana memilih untuk menjadi pengikut nabi seperti Bilal bin Rabah, Ammar bin Yasser, bapa dan ibunya, Amir bin Fukhairah ramai lagi malah ada diantara mereka yang syahid dan menemui ajal di dalam penjara tuan-tuan mereka. Lalu nabi memberi penghormatan kepada banduan-banduan ini dengan berkata "Bersabarlah Kamu dan Syurga adalah balasan untuk Kamu. Demikian juga ulama-ulama besar selepas itu seperti Imam Ahmad bin Hanbal yang disiksa di dalam penjara sehingga syahid memnemui ajalnya keran mempertahankan akidah yang benar. Seterusnya tokoh mujadid Islam Syiekhul Islam Ibn Taimiyyah yang berkali-kali disumbat menjadi banduan bersama muridnya iaitu Ibn. Qayyim al-Jauziyyah kerana mempertahan dan membela kesucian Islam.Di abad kita ini, Sejarah dipenuhi oleh tokoh-tokoh banduan daripada pemimpin-pemimpin dan ulama besar Ikhwanul Muslimin seperti Dr. Abdul Qadir Audah. Syeikh Muhammad Farahgli, Syed Qutb malahan ribuan daripada ahli-ahli Ikhwanul Muslimin yang menjadi banduan. Sebahagian daripada mereka menemui syahid di dalam penjara. Demikian juga tokoh-tokoh pejuang Palestin seperti As-Syahid Ahmad Yasin, Dr.Rantisi dan ramai lagi. Di nusantara ini kita kenal tokoh terkemuka dan ulama Islam seperti Muhammad Natsir mantan Perdana Menteri Negara Kesatuan Republik Indonesia dan Ketua Masyumi di samping ketua Muktamar Alam Islami bertahun-tahun menjadi banduan. Begitu juga Ulama besar dan pujangga Nusantara Dr.Hamka bertahun-tahun menjadi banduan dan ramai lagi tokoh utama Masyumi yang menjadi banduan. Malah mantan Presiden Indonesia Sukarno dan mantan Naib Presiden Indonesia Dr.Mohamad Hatta juga bekas banduan sebelum menjadi Presiden dan Naib Presiden Indonesia. Di Malaysia tokoh besar pergerakkan kemerdekaan Dr.Burhanuddin Al-Helmy turut menjadi banduan.

Nampaknya Zahid dengan sendirinya mendedahkan kejahilan dan kerendahan kualiti pemikiran apabila beliau tergamak menhina para banduan yang telah diberikan oleh Allah swt kepada mereka kemuliaan kerana rela menjadi banduan untuk menegakkan Kebenaran dan Menentang Kezaliman. Masyarakat yang di nasihati oleh orang seperti Zahid ini hendaklah sedar dan berwaspada terhadap hasutan Iblis laknatullah. Segeralah bertaubat sebelum sampai hukuman daripada Allah swt kerana menghina banduan yang mendapat kemuliaan daripada Allah.