Sunday, September 14, 2008

ISA: Bercanggah dan Fitnah Terhadap Islam


Assalamualaikum. Untuk pengenalan ringkas, ISA (Internal Security Act) atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 dan di Malaysia Timur pada tarikh penubuhan Malaysia 16hb. September 1963. Seterusnya akta ini dengan singkatan ISA, umumnya mengetahui dilaksanakan untuk tujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia iaitu yang pertama, menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau mengakibatkan sebahagian besar warganegara takut dengan keganasan tersebut. Kedua, untuk memperolehi perubahan dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah terhadap kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut undang-undang. Sehingga tahun 1969, akta ini telah melalui perubahan dan pindaan tidak kurang 15 kali iaitu pada tahun 1962, tiga kali pada 1963 dan 1964, dua kali pada tahun 1965, tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989. (Rujuk Panduan Undang-undang Am, Jilid 1, International Law Book Service, K.Lumpur, 1988, m.s:1977). Ringkasnya tujuan penggubalan akta ini jelas bermaksud mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatn negara dan percubaan menjalankan subversif iaitu percubaan untuk menglingkan sebuah kerajaan yang sah di bawah perlembagaan melalui pilihan raya. Diperkukuhkan lagi satu ketika kenyataan Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak ketika membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis.

Penahanan ISA terhadap beberapa Individu politik, blogers dan wartawan.

Berita penahanan bebrapa individu yang dikatakan boleh mendatangkan kekacauan, perlu diperhalusi dalam konteks ketika ini negara dikenali seluruh dunia terutamanya negara Islam sebagai negara Islam yang moderate, makmur, tampuk kepimpinan yang melancarkan imej negara “Islam Hadhari”. Kita satu ketika lantang menentang tindakan pihak penceroboh Amerika dan kem kontroversi Guatanamoa.

Kepimpinan negara perlu sedar, bahawa negara Islam ialah negara yang melindungi hak-hak dan memberi kebebasan. Kedua-dua perkara ini merupakan prinsip keimanan dalam amalan Islam dan bukan omong atau propoganda kosong.

Atas nama manusia ciptaan Allah, mereka ada hak untuk hidup, hak untuk memiliki sesuatu, hak untuk mendapatkan keperluan dan hak perlindungan terhadap agama, maruah diri, keturunan, harta yang semestinya dilindungi oleh syariat. Siapa pun tidak berhak untuk melepasi sempadan jauh sekali melanggarnya. Allah telah menetapkan hukuman berupa qisas dan hudud yang menggerunkan semata-mata untuk mengawal dari sebarang pencerobohan. Negara Islam berkewajipan sedaya upaya untuk mencapai dua matlamat yang tinggi dalam kehidupan bagin setiap individu di bawah pemerintahannya iaitu keperluan hidup dan keamanan. Apabila tercapainya dua perkara berkenaan, barulah manusia akan dapat memberi tumpuan kepada ibadah. Ini diperkukuhkan dengan firman Allah:

Allah-lah yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada rasa takut”
(Quraish: 106:4)

Ramai yang menyangka laungan prinsip kebebasan merupakan hasil ciptaan revolusi-revolusi barat misalnya Revolusi Peranchis. Sebenarnya Islam telah berabad-abad lamanya berusaha menjelaskan secara terperinci sekaligus menyeru manusia ke arah kebebasan. Misalnya dalam konteks kebebasan beragama, Islam menolak semua bentuk paksaan untuk manusia menerima agama mulia ini. Menurut Dr. Yusuf Al Qaradhawi, keimanan hanya datang melalui kesedaran peribadi dan dan kepuasan hati.

Untuk lebih luas, Islam telah menetapkan dan menjamin kebebasan untuk berucap dan memberikan pendapat. Menurut Dr. Yusuf Al Qaradhawi lagi, bukan itu sahaja, malah Islam memandang perkara tersebut sebagai satu kewajipan dan tanggungjawab. Misalnya jika seseorang melihat satu kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan di hadapannya, maka dia berkewajipan untuk mencegahnya dengan apa cara yang mampu dilakukannya. Tidak ada sama sekali kebebasan baginya untuk memilih berdiam diri atau bersuara. Perlu di ingat, bahawa orang yang memilih untuk berdiam diri satu kebenaran sama kedudukannya dengan orang yang mengisytiharkan satu kebatilan. Mereka yang tidak mahu menyatakan secara jelas tentang kebenaran diibaratkan sebagai syaitan bisu. Begitu juga apabila kita melihat satu kebajikan yang tidak dipraktikan maka dia wajib menyeru untuk melaksanakannya. Semua ini diringkaskan dengan satu kalimah ringkas ”Amar Maaruf Nahi Mingkar”

Kamu semua adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta beriman kepada Allah”
(Ali Imran: 3:110)

Perlu difahami juga sekiranya negara ini mahu mencontohi negara Islam yang di asaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw, bahawasanya Islam juga berdiri bersama ahli zimmah (golongan kafir yang tinggal dibawah naungan kerajaan Islam) yang menuntut hak-haknya daripada kaum Muslimin secara sempurna dan baik. Jauh sekali dengan alasan agama yang berbeza menjadi alasan untuk mereka di tindas, dan dicegah dari mendapatkan hak-hak mereka. Bahkan ada sebahagian fuqahak menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa menganiaya ahli zimmah merupakan satu kesalahan yang lebih besar berbanding menganiaya seorang Muslim.

Dalam isu penahanan Individu Muslim dan bukan muslim sama ada yang masih ditahan atau yang baru ditahan, sewajarnya Perdana Menteri menggunakan kesedaran ini dengan kuasa mutlak yang ada, membebaskan serta merta semua yang ditahan dibawah akta ISA dengan segera. Sekiranya ada bukti perlu dibawa kemuka pengadilan. Selagi ada penahanan tanpa bicara ia menjadi fitnah terhadap Islam. Kalau ada mana-mana pihak yang mengeluarkan pandangan dan penghinaan secara jelas terhadap Islam yang mulia ini, buktikan. Mereka perlu diberi hak untuk mempetahankan diri dan apa pun hasilnya, Islam pasti menang dengan mesej keadilannnya terhadap semua manusia. Sekaligus dakwah keluhuran Islam sebagai ”Rahmatan lil alamin” akan menjadi kenyataan untuk dakwah majmuk di negara ini. Bagi penulis, yang ketika ini berada di dalam lapangan dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Cawangan Perak, menyatakan pendirian peribadi dan tidak mewakili pandangan negeri dan pusat. Semangat untuk menegakkan Kebenaran dan Keadilan menjadi asas kepada pandangan ini. Wallahuallam.



No comments: