Monday, June 22, 2009

PAS-UMNO: Menyorot Sejarah Pahit Kerajaan Perpaduan

Dalam isu hangat kerajaan perpaduanyang dimainkan oleh media kini, ada beberapa perkara yang boleh diambil kira oleh PAS untuk dipertimbangkan. Pertama, pengalaman yang pernah dilalui ketika penyertaan PAS bersama Parti Perikatan yang di ketuai oleh UMNO (United Malays National Organization) sehinggalah tahun bersejarah untuk PAS 1977. Sebab itu segala catatan dan pengalaman yang pernah di lalui oleh Allahyarham Tan Sri Dato’ Mohd Asri Haji Muda selaku Yang Dipertua PAS yang ketiga, merangkap Menteri Besar Kelantan cukup berharga untuk direnungi. Jasa peting yang dilakukan oleh Dato Asri ialah pandangan beliau menyalurkan idea untuk menyelesaikan isu tragedi 13 Mei 1969.
Ketika tercetusnya peristiwa berdarah Rusuhan Kaum 13 Mei 1969, kuasa politik bangsa Melayu di Malaysia ternyata tergugat disebabkan tohmahan dan beberapa faktor perkauman yang ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ketika itu walaupun Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri, urusan Negara diserahkan kepada Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannnya sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara atau Mageran apabila Parlimen digantung. Setelah dua hari tragedi berterusan, Dato’ Mohd Asri telah dijemput oleh Tun Abdul Razak untuk membincangkan masalah perpaduan, survival dan masa depan bangsa Melayu. Saat inilah lahirnya idea untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang politik di antara UMNO dan PAS bagi tujuan penyatuan bangsa Melayu. Petemuan antara dua tokoh ini akhirnya melahirkan kerajaan campuran di mana PAS bersetuju untuk turut menyertai kerajaan Barisan Nasional demi keselamatan, kestabilan dan perpaduan Negara. PAS ketika ini jelas bersedia tanpa berprasangka mengenepikan “ideologi” parti dan duduk semeja untuk bekerja sama dengan UMNO, walaupun bertentangan dan bermusuhan serta bersaing sengit dalam empat pilihan raya umum untuk merebut kerusi (1955, 1959, 1964,dan 1969). Terbukti keihklasan PAS menjadikan Kelantan satu-satunya tidak dicemari dengan darah. Begitulah hebatnya sumbangan PAS walaupun singkat. Pada 1 Januari 1973, PAS bekerjasama dengan parti-parti politik yang lain dengan tertubuhnya gabungan parti pemerintah yang dikenali sebagai Barisan Nasional termasuklah parti pembangkang yang lain iaitu parti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP). Kerajaan campuran PAS-Perikatan (UMNO) yang ditubuhkan 1973 ini telah membuktikan bahawa PAS memberikan suatu sumbangan yang sangat tinggi nilainya dari sudut perpaduan dan keharmonian umat. Dato Mohd Asri dilantik menjadi Menteri Penuh dan beberapa pimpinan PAS yang lain diberi jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen setelah pilihanraya 1974. Di beberapa buah negeri beberapa orang calon PAS yang menang sebagai Calon Barisan Nasional dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau Exco. Panas yang disangka sehingga ke petang rupa-rupanya hujan ditengah hari apabila setelah empat tahun berkongsi kuasa dan bekerja sama retak-retak mula muncul dan semakin membesar akhirnya menjadi belah. Dikaitkan krisis UMNO-PAS diperingkat Kelantan, akhirnya dikeluarkan dari Barisan Nasional setelah tidak menyokong satu Rang Undang-undang Perisytiharan Dharurat di negeri Kelantan yang sememangnya menjadi medan pertemuan sengit PAS-UMNO. Sangat menyedihkan apabila pilihan raya umum 1978, ternyata prestasi PAS merosot dan menjunam terus sehinggalah di lihat PAS menjadi lemah untuk menghadapi lawannya UMNO. Perpecahan dalaman juga beriringan selepas itu.
Generasi muda yang segar berbaris di dalam saf kepimpinan PAS kini perlu dibekalkan dengan maklumat penting, seperti maklumat punca ketegangan di akhir-akhir sebelum PAS dikeluarkan, antaranya seperti yang di ungkapkan oleh alayarham Dato’ Mohd Asri ialah;
1. Timbulnya kegelisahan sesetengah pihak di Kelantan, bahawa sehingga bilakah PAS mahu memegang tampuk pemerintahan negeri atau dalam bahasa yang mudah bilakah UMNO akan dapat memerintah Kelantan kembali. Kegelisahan inilah yang menyebabkan suasana kerjasama tergugat.

2. Timbulnya suara-suara sumbang yang kadang kala bertukar menjadi fitnah. Ini disebabkan berlakunya gerakan untuk bersama PAS di kawasan tertentu yang sebelumnya kawasan berkenaan belum ada PAS.

3. Tanggapan salah yang di dorong oleh laporan yang salah tentang sesuatu kejadian yang akhirnya menjadi begitu sensitif sekali.

Kesemua tiga faktor ini telah mencetuskan suasana gawat. Peristiwa gawat yang dimaksudkan ialah:
1. Kegawatan yang timbul apabila tiba masanya untuk memilih seorang Menteri Besar hasil pilihan raya 1974. Persoalan ini Nampak mudah apabila parti yang mendapat majoriti akan mengemukakan calon yang dipersetujui. Kebiasaannya di kalangan yang lain tidak pernah malah tidak perlu campurtangan. Walaupun begitu, PAS tetap bertolak ansur menerimanya dengan penuh rasa mengerti dan mahabbah, walaupun ada yang terguris hati. Kegawatan ini terus ditambah lagi oleh gerakan halus yang membangkitkan rasa tidak senang hati yang akhirnya menimbulkan perpecahan dari dalam. Ada pula yang ingin menangguk di air keruh ketika itu apabila ada golongan yang berhasrat untuk mengmabil alih Kelantan dari tangan yang berkuasa walau dengan apa cara sekalipun, walaupun mereka juga sama berada dalam wadah Barisan Nasional.

2. Perasaan cemburu juga muncul apabila PAS mengembangkan sayapnya.Ini terbukti apabila timbulnya tuduhan yang agak keras menuduh PAS mencuri ahli parti kawan sehingga dapat menubuhkan cawangan atau rantingnya. Pada hal semuanya maklum bahawa PAS cukup berwaspada dan sangat berhati-hati ketika itu dalam gerak langkahnya. Misalnya pada setiap tempat yang ingin menubuhkan cawangan atau rantingnya, wakil rakyat di kawasan terbabit dijemput hadir sama untuk mengelak fitnah. Selain itu, permohonan menjadi ahli PAS turut ditapis dengan cermat agar tidak tersalah mengambil anggota parti lain dalam Barsan Nasional. Tujuan utamanya ialah untuk keutuhan Barisan Nasional.

3. Disamping itu telah berlaku suatu kejadian di satu tempat. Ketika itu PAS telah mengadakan majlis pertemuan dengan anggotanya. Secara kebetulan, pada waktu yang sama pemuda UMNO turut mengadakan majlis pertemuan dengan dihadiri oleh Perdana Menteri. Ketika rombongan Perdana Menteri melalui tempat perhimpunan PAS, anggota PAS telah berkumpul dan bersorak melambai-lambaikan tangan kepada rombongan tersebut. Rupa-rupanya peristiwa ini telah di salah tafsirkan sehingga menuduh PAS mengejek Perdana Menteri ketika itu.

Kesemua peristiwa berkenaan telah membangkitkan suatu fenomena kegawatan yang sangat sukar untuk dikawal. Berdasarkan retetan tersebut, menjadi asas tragedi politik PAS-UMNO apabila parlimen dipanggil bersidang dan sebuah akta diluluskan bagi mendaruratkan Kelantan. Dikhabarkan Dato’Mohd Asri telah bangun berucap dalam Dewan Rakyat menentang Rang Undang-Undang tersebut. Dalam isu ini, Dato’ Mohd Asri digambarkan tidak beretika dan kurang sopan apabila sebagai seorang Menteri Kabinet berucap menentang sebarang Rang undang-undang atau usul daripada Kabinet. Sebelum itu ketika dalam sidang jemaah menteri di sebelah pagi Dato’ Mohd Asri juga berterus terang menyatakan pendirian beliau untuk menolak dan menentang Rang tersebut dan beliau telah memohon meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet. Sehinggalah dalam satu mesysuarat Barisan Nasional yang di adakan kemudian, satu usul telah dikemukakan iaitu usul untuk menyingkirkan PAS daripada Barisan Nasional. Sungguh menyayat hati dan pilu bagi warganegara melayu dan Islam ketika itu apabila setelah selesai perbahasan, seperti biasa usul tersebut diterima sepenuhnya tiada yang membangkang kecuali wakil daripada PAS. Seumpama sebuah keluarga besar yang diusir keluar dari rumah yang dijanjikan kebahagian perpaduan satu ketika dahulu. Anak-anak, harta, perkakas rumah, kain baju dan banyak lagi terpaksa dibawa keluar dengan rasa kecewa dan malu. Ketua keluarga yang di usir dikerumuni oleh anak-nak keluarga besar yang sememangnya tidak tahu apa-apa.
Persoalannya, kenapa PAS disingkirkan oleh BN yang diketuai oleh UMNO seperti yang diunggkapkan oleh Allahyarham Dato’Haji Fadzil Mohd Noor di dalam ucapan dasar Muktamar PAS ke 46 pada tahun 2000 yang lalu “Sejarah merakamkan juga bahawa inilah antara perhitungan besar dalam keterlibatannya dalam kerajaan campuran pada tahun 70-an sebelum dicampak keluar pada tahun 1977”. Semua pimpinan PAS perlu meneliti dan berilah satu kesepakatan tentang maksud almarhum tentang “dicampak keluar” . Kenapa perkataan “dicampak” itu yang digunakan. Kenapa tidak digunakan perkataan “keluar” sahaja. Apa yang boleh difahami, perkataan campak merujuk kamus tersohor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bermaksud ; lempar, meninggalkan sesuatu tempat buat selama-lamanya, dan membuang barang sesuka hati. tidak menghargai sesuatu barang Nampak semacam tidak mencerminkan apa-apa tetapi mungkinkah tersirat pengajaran yang cukup besar?
PAS: Parti Islam terbesar dan tertua di Malaysia
PAS perlu sedar bahawa parti ini sedang di ikuti dan di awasi oleh berbagai pihak sama ada pertubuhan gerakan Islam sedunia yang menumpang kasih dan sayang serta kagum atas semangat persaudaraan Islam atau sebaliknya. Berdasarkan pandangan tokoh ilmuan terkemuka barat, John L.Espoisito dan John O.Voll di dalam bukunya “Islam and Democracy” PAS adalah merupakan sebuah parti Islam yang terbesar dan tertua di Malaysia ditubuhkan pada tahun 1951 oleh golongan ulama yang telah dikhianati oleh UMNO di sebabkan UMNO berkompromi berkenaan polisi terhadap bukan Melayu ( compromise policy towards non-Malays) dan apa yang di dakwa sebagai sikap berbelah bagi terhadap Islam (ambivalent attitude toward Islam). Maknanya, PAS perlu memahami bahawa kelahiran parti ini sebenarnya sudah ada sejarah pahit bersama UMNO. Setelah lebih 50 tahun kemerdekaan, isu berkompromi dengan bukan Islam mungkin telah banyak di selesaikan berdasarkan perkembangan terkini yang sangat mengkagumkan seperti penyertaan PAS dengan Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Demokratic Action Party (DAP), dan Penubuhan Kelab Penyokong PAS untuk kaum Cina dan India. Islam fobia di kalangan bukan Islam berjaya dikikis oleh PAS. Ini lah kejayaan yang cukup besar yang patut dijaga dan disyukuri oleh semua pejuang PAS. Adalah tidak mustahil PAS dalam tempoh yang mendatang akan menjadi sebuah Parti yang dominan mengetuai gabungan parti lain yang inginkan perubahan yang baik untuk Negara. Tidak mustahil sama sekali.
Sebelum bercakap isu kini yang membabitkan isu kerajaan perpaduan atau “unity talk”, ada beberapa persoalan yang perlu diteliti dan diselesaikan secara berlapang dada atas sikap perpaduan yang berasaskan keadilan dan kebenaran.
1. Antara punca PAS “Dicampak keluar” dalam tahun 1977 bertitik tolak dengan isu kuasa di Kelantan. Kini isu kerajaan Perak lebih menjurus kepada PAS-DAP yang mewakili Pakatan Rakyat dan UMNO sebagai wakil Barisan Nasional. Sebagai rakyat Malaysia yang bijak menilai, tidak siapa pun yang waras boleh menerima bagaimana kerajaan baru pimpinan UMNO berkuasa kini. Ini bukan soal UMNO atau PAS. Rakyat Perak secara umumnya akan sentiasa menerima kerajaan yang secara sah tanpa prejudis. Mana-mana kerajaan yang jelas dipilih melalui pilihan raya perlu di dokong, baik PAS atau UMNO. Apa yang rakyat Perak perolehi kini. Semuanya terbantut sama ada soal perpaduan, dakwah, sosial, ekonomi dan sebagainya. Di Perak tidak ada isu lain yang dibincangkan melainkan isu dua Menteri Besarnya. Mana-mana pihak yang inginkan perpaduan dalam isu bangsa Melayu dan agama, isu kerajaan Perak telah menyebabkan perpecahan besar di dalam agama dan bangsa Melayu itu sendiri.

2. Isu agama yang melibatkan orang Melayu Islam juga tidak kemana. Misalnya,dalam isu sensitif merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan Abdullah atau Pathmanathan a/l Krishnan dan Indira Ghandi dalam isu penjagaan tiga orang anak mereka yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Ipoh. Yang menjadikan isu ini semakin “panas” dan celaru ialah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abd Aziz, menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada suami isteri berkenaan memeluk Islam, maka anak tersebut hendaklah dibesarkan mengikut agama lazim / asal (common religion) pada waktu perkahwinan berkenaan. Perlu di ingat isu ini juga sebenarnya mengancam Islam dan bangsa Melayu itu sendiri. Tidak dikira lagi bagaimana pendirian dan komitmen pihak pemerintah yang ada kini dalam isu murtad dan sebagainya.

3. Bagaimana pula dengan isu bangsa Melayu yang berpecah dalam isu bahasanya sendiri. Orang Melayu tidak perlu salahkan parti DAP, Gerakan, Malaysian Chinese Association (MCA) dan sebagainya. Tidak cukup penghapusan tulisan Jawi oleh pimpinan Melayu, orang Melayu di hadapkan dengan isu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Isu bahasa ini jangan diabaikan. Pemimpin Melayu UMNO perlu disedarkan bahawa merekalah sepatutnya yang mendepani isu untuk diselesaikan. Semua ini dapat dibayangkan melalui sajak Usman Awang pada 3 Mac 1967;

Malam itu di Balai Budaya,
Api dan Air Mata,

Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara,
Berarak ke Parlimen, aku di muka,

Malam itu di Balai Budaya
Seorang peguam muda berkata
‘Bakar Perlembagaan 152


Malam itu di Balai Budaya,
Seorang pemuda berteriak,
‘Ayuh kami sedia dibakar’

Malam itulah juga
Parlimen jadi pertanda
Memenggal leher bahasa


4. PAS diyakini tidak akan sama sekali menyimpang daripada cita-citanya untuk menjadikan negara Malaysia sebuah Negara Islam yang harmoni dan diterima oleh semua kaum. PAS ketika era 1950-an hingga 1970an di lihat sebagai parti yang berkait rapat dengan nasionalisme Melayu sebagai mana didorong oleh idealism pimpinan semasa terutama ketika dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Helmi (sebelum ini pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM dan gabungan parti kiri yang lain) telah menegaskan ; “Dari isi, sifat dan orientasi PAS dan saya adalah “nasionalis Melayu: dengan aspirasi Islam (John Hilley ; Malaysia :Mahathirism, Hegemony and The New Opposition). Walau bagaimanapun, sejarah telah melihat satu perubahan menjelang 1977-78, apabila PAS mengalami perubahan radikal dalam pandangannya mengenai nasionalisme. Berikutan kemasukan pimpinan muda ketika itu seperti almarhum Dato Ustaz Fadzil Noor, Nakahie Ahmad dan Abdul Hadi Awang bersama tokoh ulama yang lebih tua terutamanya Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan almarhum Ustaz Yusuf Rawa. Era ini bermulalah PAS meninggalkann pendirian Melayu-Nasionalis dan mula mencari pentafsiran baru yang lebih tulen dan murni mengenai Islam. PAS yang dipacu hebat oleh sebahagian besarnya golongan ulama, telah membina semula agenda Islam sekali gus menandingi UMNO yang dilihat tidak kearah itu. Semangat “nasional yang sempit” atau yang di takrifkan oleh PAS sebagai assabiyah dikaitkan sebagai cauvinisme etnik turut dikembangkan oleh Ustaz Hadi Awang sebagai Presiden PAS. Apabila UMNO memainkan hanya isu perpaduan Melayu, adakah ianya sesuai dengan perubahan pemikiran PAS yang telah ada kini?

5. Pertentangan yang paling jelas antara UMNO terhadap PAS ialah isu perlaksanaan hukum hudud. Biarpun telah diluluskan di Kelantan sebagai Akta Negeri pada 1993, perlaksanaan undang-undang Hudud memerlukan pengesahan persekutuan supaya ia boleh termaktub di dalam perlembagaan. Tetapi malangnya penentangan yang paling kuat yang mengagalkan cita-cita besar ini bukannya datang dari DAP, MCA dan mana-mana parti bukan Melayu dan Islam tetapi dari UMNO yang dipimpin oleh tokoh yang bernama Mahatir Mohammad. Ketika perbincangan mengenai perlaksanaan undang-undang hudud ini, Mahathir telah menggambarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan PAS sebagai pelopor Kaum Tua. Sambil mencabar dan sinis dengan kenyataan ‘mesra’ Nik Aziz bahawa hukum hudud tidak akan dikenakan ke atas orang bukan Islam sekiranya undang-undang konvensyenal diamalkan, Mahathir memperlihatkan gambaran UMNO dari sudut prinsipnya yang jelas bertentangan. Mahathir dengan angkuh terhadap Tuhannya berusaha menggambarkan ketidakadilan dalam hukum hudud sambil membuat kenyataan yang tidak sepatutnya diungkap oleh seorang Melayu Islam seperti berikut:

“Wanita yang dirogol tidak mampu mengemukakan empat orang saksi, maka perogol tidak akan dihukum biarpun dia mengetahui siapa lelaki itu sebenarnya…Sebaliknya, jika dia mendapat anak akibat perbuatan tersebut, maka dia akan dituduh berzina dan direjam dengan batu sehingga mati. Hukum ini tidaklah adil.” (Dipetik dari: John Hilley ; Malaysia :Mahathirism, Hegemony and The New Opposition)

Sekiranya dalam isu perpaduan yang dikelirukan oleh sesetengah pihak terutamanya pihak media kepada ahli PAS di peringkat akar umbi, memang patutlah Tuan Guru Nik Aziz bersifat agak keras menolak berdasarkan beberapa kenyataannya akhir-akhir ini seperti kerjasama yang diimpikan antara PAS dan UMNO adalah mengarut, sampah dan sebagainya. Kenapa Tuan Guru bersikap demikian? Beliau lebih maklum dengan pengalaman yang ada dikira pahit bagi seorang pimpinan utama PAS.

Sebagai warga Melayu Islam, kita perlu meletakkan Islam sebagai tunjang perpaduan. Begitu jugalah PAS. Walau apa pun berlaku PAS jangan jatuh dalam lubang yang sama sebanyak dua kali. Apa yang ada pada PAS kini cukup baik untuk menjulang Islam di kaca mata orang bukan Melayu dan Islam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut merasa suatu kejayaan di dalam pakatan rakyat yang bukan diukur dengan kejayaan merebut kerusi atau jatuhnya beberapa buah negeri ke tangan pakatan, tetapi beliau melihat golongan bukan Islam dan bukan Melayu telah mula mendekati PAS. Mendekati PAS bermakna mendekati dan mula rasa tidak berperasangka dengan Islam. Islam mula di dekati dan dihayati. Inilah kejayaan yang sepatutnya PAS raikan. nilah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru dan ini jugalah yang paling dibenci oleh pihak-pihak yang memang tidak mahu kepada Islam terutama di kalangan sebahagian Melayu Nasionalis. Turut dinasihati kepada semua pencinta kepada Islam, kita doakan agar pimpinan Melayu Islam yang mendominasi kini, diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT untuk melalui saat-saat getir dari sudut perbezaan pendapat.