Monday, October 27, 2008

ABIM: Sebuah Gerakan Islam, Bukannya Gerakan Belia Semata-mata

Maksud Gerakan Islam

Menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Gerakan Islam ialah segala aktiviti rakyat atau masayarakat yang bersifat bersama (jamaah) dan terorganisasi, yang berkeupayaan mengembalikan Islam kembali memimpin masyarakat dan menjadikan Islam sebagai cara hidup dalam semua aspek.[1] Aktiviti yang berkesinambungan adalah intipati penting dan utama bagi sebuah Gerakan Islam. Beliau juga menambah bahawa aktiviti yang dimaksudkan tidak hanya dengan aktiviti ceramah, buku, seminar berkhutbah, berbicara dan penulisan. Sememangnya semua ini penting tetapi itu hanyalah sebahagian daripada Gerakan Islam, dan bukan Gerakan Islam itu sendiri. Allah swt berfirman:

”Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu itu.”
(at-Taubah 105)

Aktiviti Yang Bertunjangkan Tauhid

Setiap aktiviti masyarakat perlu berpunca atas dasar ”kebangkitan jiwa” dan ”kepuasan diri” yang bertunjangkan harapan dan keyakinan terus kerana Allah swt. Jauh sekali kerana manusia. Maksud kebangkitan jiwa itu ialah pada dasarnya sesuatu yang dirasakan oleh seorang muslim ketika ia tersentuh oleh kebangkitan (syahwah), sehinggalah jiwanya bergetar akibat percanggahan yang berlaku antara iman dan realiti yang berlaku dalam kehidupan umat. Diperkuatkan lagi dengan rasa cinta dan tanggungjawab terhadap Allah dan Rasulnya. Ditambah lagi dengan kesedaran dengan kelemahan dan kelalaian diri dan masyarakat sekitarnya.

Secara sedar, semangat untuk berbakti dan mengambil rasa tanggungjawab lahir dengan sendirinya. Tanggungjawab untuk melaksanakan perintah Allah dan RasulNya, menyatukan umat dengan kalimat Allah, membebaskan bumi Islam dari segala dominasi golangan bukan Islam serta semangat untuk mengembalikan Khalifah Islamiyah. Dengan ini sahaja dengan izin Allah, dakwah kembali mekar, perlaksanaan amar maaruf nahi mungkar, berjihad di jalan Allah dengan tangan, lisan atau hati, walaupun dengan teguran melalui hati itu dikira selemah-lemah iman. Akhirnya sehinggalah kalimah Allah dapat ditegakkan semula di atas muka bumi ini. Inilah yang dimaksudkan gerakan itu dan aktivitinya.
[1] Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Awlawiyat al-Harakat al-Islamiyah fi al-Marhalah al-qadimah, Maktabah Wahbah, Cairo, 1991.