Monday, September 1, 2008

RAMADHAN AL-MUBARAK: Kerinduan Utama Bagi Orang-orang Mukmin

Assalamualaikum. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat ilahi dengan limpah kurnianya Allah swt memberi keizinan untuk kita berada di dalam madrasah Ramadhan. Sebagai mukmin, kita perlu ada beberapa persiapan sebeum memasuki madrasah yang agung ini. Pertama, persiapan ilmu, kedua, persiapan mental dan fizikal dan ketiga, pembersihan jiwa dari sifat mazmumah. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah 185,

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang hak dan yang batil)”

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah 185,


Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu (al-qadr)? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar".

Marilah kita mempertingkatkan takwa kepada Allah dengan melaksanakan kebaktian untukNya semata-mata dan menghindarkan diri daripada segala bentuk kemaksiatan, agar terselamat daripada siksaanNya di dunia dan akhirat. Semoga dengan kebulatan tekad yang luhur yang dimiliki, Allah s.w.t. meneguhkan kekuatan untuk melakukan ibadah dengan ikhlas dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat yang luhur yang dapat memperkasa pelbagai amal kebaikan dalam meneruskan perjuangan hidup yang singkat. Apa lagi yang diharapkan oleh seorang hamba yang soleh yang sedar bahawa hidup ini hanya sementara. Perlu ada bekalan yang cukup sebelum pulang mengadap Rab-Nya.

Saudara yang dirahmati Allah,
Ramadan, bulan suci yang teristimewa sangat dinanti-nantikan dan dirindui ketibaannya oleh setiap mukmin. Ketibaan Ramadan perlulah disambut dengan penuh lapang dada, kegembiraan, kesyahduan dan kesyukuran. ORANG MUKMIN BERCINTA DAN MERINDUI KEHADIRANMU.

Marhaban ya Ramadan! Ucapan penghormatan ini benar-benar keluar dari lubuk sanubari kita dengan penuh keikhlasan dan mengharapkan jiwa raga yang bakal diasah, dibangun, diasuh dan dijinakkan menjadi perisai dalam merentas cabaran kehidupan menuju ‘Mardhatillah’ (Keredaan Allah). Pada bulan suci Ramadan inilah Allah menyeru orang-orang yang beriman dengan seruan mesra untuk melaksanakan kewajipan beribadah puasa selama sebulan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu supaya kamu bertakwa”.

Kewajipan dan pensyariatan puasa tetap dikuatkuasakan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., yang berlaku pada bulan Ramadan saja menunjukkan pengekalan syariat ibadah puasa itu mengandungi matlamat dan jangkauan tertentu dalam mendekatkan diri kepada Allah.

Saudara yang dirahmati Allah,

Ibadah puasa bukanlah sekadar menahan lapar, dahaga dan menahan keinginan nafsu, tetapi puasa menahan setiap indera daripada melakukan sesuatu perbuatan yang sia-sia lagi merugikan. Menjadikan pelakunya orang yang benar-benar dapat mengawal dan mengendali diri.
Pengawalan dan pengendalian diri secara seimbang adalah natijah dalam mencetuskan amal-amal kebaikan yang akan dinikmati oleh sekalian manusia.

Tujuan dan fokus utama kita berpuasa adalah untuk mencapai darjat takwa. Tingkatan takwa yang hendak diraih bukan saja memperkukuh takwa kepada Allah, malahan semakin halus Imannya semakin meningkatkan juga mutu sumbangan bakti kita terhadap sesama manusia dan menjadikan kehidupan lebih sejahtera.

Hal sedemikian itu boleh kita capai, apabila kita menggunakan sebaik mungkin kesempatan bulan suci Ramadan yang mendatang dengan memperligatkan jentera gerakan amal ibadah kita seperti berlaku ihsan terhadap insan, bertadarrus Al-Quran, berzakat, bersedekah, beri’tikaf, menghening pada malam lailatul qadar dan sebagainya. Yang mana sebahagian ibadah yang disebutkan itu tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.

Saudara yang dirahmati Allah sekelian,

Keunikan ibadah puasa merupakan rahsia antara Allah dengan pelakunya sendiri. Bagi orang yang beriman puasa yang dilakukan untuk Allah. Oleh itu, meskipun tidak diketahui orang lain dia tetap memelihara puasa agar peribadinya terangkat ke makam terpuji dan terhindar daripada siksaan di akhirat. Mungkin inilah yang dimaksud oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Maksudnya: ”ِAllah telah berfirman. Sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku memberi ganjaran dengannya”.

Dalam mengharungi pahit-manis perjuangan puasa, kita haruslah menyiapkan diri seutuhnya yang merangkumi aspek spiritual dengan menghayati solat fardu yang dilakukan dan ditambah pula dengan solat sunat serta amalan-amalan soleh yang lain.

Adapun dari aspek mental dan fizikal, kita melatih diri dengan mengawal nafsu selera yang selalu membara atau berpuasa sunat pada sisa-sisa hari dalam bulan Sya’aban ini. Persiapan awal rohani dan jasmani itu sangat penting supaya kita dapat menyempurnakan ibadah puasa menurut acuan Allah dan RasulNya.

Saudara yang dirahmati Allah,

Ramadan adalah bulan di dalamnya cucuran rahmat, maghfirah dan barakah daripada Allah diturunkan melimpah ruah ke atas hamba-hambaNya. Dengan berpuasa, orang yang beriman pada tahap awal dapat meneladani sifat-sifat Allah yang maha suci itu melalui memberi makan kepada orang lain untuk berbuka puasa, belas kasihan, murah hati dan sebagainya.

Tentu saja sifat-sifat Allah tidak terbatas pada ketiga-tiga sifat itu tetapi mencakupi segala sifat yang maha sempurna dan kita harus berupaya mencontohinya sesuai dengan kemampuan dan kedudukan manusia sebagai makhluk Ilahi. Oleh itu, nilai puasa ditentukan oleh kadar pencapaian kesedaran tersebut.

Dengan kesedaran yang mendalam tentang ibadah puasa Ramadan, amanah dan tugas duniawi yang dipikul tetap dilaksanakan sepertimana biasa memastikan tidak sedikit pun menjejas daya penghasilan yang bermutu tinggi. Meskipun jasmani kurang tenaga kerana tidak makan dan minum, ianya menjadi kuat disebabkan kekuatan tauhid yang mengatasi segala-galanya.

Saudara yang dirahmati Allah,

Berpuasa tidak berhenti begitu saja, ia tidak bermakna lebih banyak berehat dan bercuti, tidak mempedulikan diri patah lagi hal ehwal masyarakat. Sikap yang negatif dan destruktif sebegini hendaklah diluputkan dari minda kita untuk mencapai derajat takwa. Renungkanlah firman Allah di dalam surah Ar-Rahman, ayat 29-30:

Maksudnya: “Semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepadaNya. Setiap waktu Dia dalam kesibukan. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang hendak kamu dustakan”.

Tegasnya, puasa yang diasaskan atas keimanan memperteguh jatidiri mukmin, menyerlah segala kebaikan pada dirinya untuk kepentingan manusia dalam memakmurkan kehidupan di dunia ini, menyebar panji amar makruf dan nahi mungkar serta membawa kedamaian yang menyeluruh .Semoga Allah memberikan petunjuk dalam usaha kita memurnikan persembahan puasa kepadaNya dan menjadikannya perisai untuk membentengi diri kita daripada kerakusan nafsu serakah yang merosakkan keperibadian dan kemanusiaan sejagat. Semoga Allah menggolongkan kita ke dalam golongan hamba-hambaNya yang bertakwa dan muhsinin yang
berjaya. Amin ya Rabbal a’lamin. Selamat berpuasa pada Ramadan Mubarak ini.

No comments: