Friday, September 19, 2008

Pedoman Beriktikaf 10 Malam Terakhir Ramadhan

Pengertian Iktikaf:

Iktikaf bermaksud mendiami dan menetap di dalam masjid dengan cara tertentu. Ia merupakan amalan Rasulullah s.a.w yang merupakan kemanisan dalam syarak.

Dalil Pensyariatan Iktikaf:

Iktikaf merupakan salah satu daripada ibadat yang disyariatkan oleh ALLAH ke atas umat Muhammad s.a.w. Antara hadis sahih yang menguatkan amalan ibadah ini. Aisyah r.a berkata

“Nabi s.a.w selalu beriktikaf pada 10 akhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian isteri-isteri baginda pula beriktikaf selepas kewafatan baginda”
(Bukhari dan Muslim)


Hukum Iktikaf:

Merujuk para ulama dari 4 mazhab dan serluruh umat Islam bersepakat mengatakan bahawa iktikaf 10 malam terakhir Ramadhan merupakan Sunnah Muakkadah (amalan yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w dan kaedah terbaik mendapatkan Lailatul qadar). Amalan tidak diwajibkan kecuali seseorang telah bernazar melakukannya. Iktikaf boleh dilakukan sesiapa sahaja yang duduk di dalam masjid kerana menunggu solat atau sebagainya. Tidak kira dia berada dalam hal dunia atau akhirat. Selagi berniat iktikaf selagi itulah orang itu mendapat pahala iktikaf. Sesorang itu perlu memperbaharui iktikaf sekiranya ia masuk setelah ia keluar dari masjid.

Keuntungan Iktikaf

Daripada Ibn Abbas r.a, Nabi s.a.w pernah bersabda:

“Sesiapa yang beriktikaf satu hari kerana mencari KEREDHAAN ALLAH, DIA akan menjadikan aqntara dirinya dan api neraka sejauh tiga buah parit. Jarak antara setiap satu parit itu lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin ”
(Tabrani dan Hakim)

Tujuan Iktikaf

Melapangkan diri daripada kesibukkan kehidupan dunia dan keluarga, sekaligus membina kekuatan dalam melancarkan kegiatan harian (Syarh sahih Muslim)

Sekiranya Ramadhan merupakan sebulan ujian yang penuh rahmat bagi setahun, iktikaf pada 10 terakhir adalah ujian khas dan lebih sukar kepada orang-orang yang telah berjaya menempuh ujian sebelum itu.

Mencontohi Rasulullah s.a.w yang berusaha mendapatkan Laillatul Qadar.

Rukun Iktikaf ada EMPAT

Duduk dalam masjid sekurang-kurangnya seketika dan tidak keluar kecuali atas alasan yang diharuskan syarak.

Berniat pada permulaan iktikaf atau ketika memperbaharuinya apabila terbatal.

Syarat orang yang beriktikaf: Islam, Berakal, Bersih daripada haid, Mendapat keizinan suami kecuali di dalam idah. (Fath Bari), Bersih daripada nifas dan junub.

Berlaku di dalam masjid.


Masjid yang boleh dilakukan Iktikaf

Paling afdal adalah di Masjidil Haram di Mekah, Nabawi di Madinah, Al Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestin. Aisyah r.a berkata, ”Tidak boleh beriktikaf kecuali pada masjid jamek”. Berdasarkan hadis umum yang diriwayatkan ini, dirumuskan oleh sebahagian ulama:

Dibolehkan beriktikaf di dalam setiap masjid yang didirikan Solat Jumaat. Hal ini berkaitan dengan maksud hadis secara umum, dengan mengambil kira masjid terbesar dan teramai jemaahnya. (Al-Um, al-Imam al-Syafie)

Sah iktikaf disemus masjid. (Syarh sahih Muslim)


Amalan-amalan semasa beriktikaf

Sebenarnya tidak ada amalan dan bacaan khusus bagi orang yang iktikaf. Tetapi kita boleh merujuk Sunnah yang sahih yang menggambarkan cara Rasulullah s.a.w beriktikaf.

Aisyah r.a berkata:

”Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadat pada masa sepuluh akhir Ramadhan berbandingh waktu-waktu yang lain”
(Muslim)

Aisyah r.a berkata

”Apabila masuk sepuluh akhir Ramadhan s.a.w akan mengikat kemas kainnya (tidak tidur bersama isterinya). Baginda menghidupkan malamnya dan mengejutkan isteri-isterinya supaya bangun beribadah bersamanya”.
(Bukhari & Muslim)

Al-Nukman bin Basyir r.a berkata,

”Kami dapat melakukan qiam Ramadhan bersama Rasulullah s.a.w pada malam ke 23 Ramadhan sehingga sepertiga malam. Kemudian pada malam ke 25, kami bersama baginda sehingga separuh malam, dan pada malam ke 27, kami berqiam sehingga hampir tamat waktu sahur”
(Ibn Khuzaimah, sanadnya hasan)

Imam al-Syafie dan pengikutnya berkata,

”Yang terbaik bagi orang yang beriktikaf itu ialah memenuhi masanya dengan amalan seperti solat, tasbih, zikir, zikir, membaca al-Quran dan belajar serta mengajar atau mengulangkaji kitab-kitab dan menulisnya”
(al-Majmu’jilid: 6)


Sesetengah ulama berpendapat bahawa mereka menghabiskan masa yang ada ketika iktikaf dengan amalan asas seperti solat, membaca al-Quran, zikir dan berdoa.

Perkara Terlarang ketika Iktikaf

Sesiapa yang melakukan iktikaf dilarang sama sekali melakukan perkara yang tidak berfaedah. Misalnya berbual kosong, dan melakukan perkara yang sia-sia. Tambahan lagi melakukan perkara makruh dan haram.

Ali bin Abi Talib r.a berkata’

”Mana-mana nlelaki yang beriktikaf, janganlah memaki orang dan bercakap kotor”

(al-Mughni, jil:3)


Alangkah ruginya umat Islam yang ketika ini dikurniakan oleh Allah swt kesihatan tubuh badan, kehidupan yang mewah dan penuh kelapangan tidak terlintas untuk melakukan iktikaf di 10 malam terakhir Ramadahan. Sedangkan Rasulullah s.a.w, begitu menekankan ibadah ini dengan menyeru serta menunjukkan komotmen yang tinggi sepanjang hayat baginda. Dalam kesibukan baginda yang diamanahkan sebagai pemimpin besar tetap melakukannya bersungguh-sungguh sehinggalah baginda wafat bertemu Allah swt. Wahai kaum muslimin yang mengharapkan keampunan dan syurga Allah swt marilah kita tanamkan tekad untuk tahun ini kita melaksanakan iktikaf untuk melengkapkan kecemerlangan Ramadhan tahun ini. Bertanyalah pada diri sendiri adakah kita berkesempatan untuk Ramadhan yang akan datang?


No comments: